Dayang Nurfaizah ada impian untuk berkeluarga. FOTO HM/ZUNNUR AL SHAFIQ
Dayang Nurfaizah ada impian untuk berkeluarga. FOTO HM/ZUNNUR AL SHAFIQ
Norhayati Nordin


PENYANYI Dayang Nurfaizah, 37, mengakui sebagai wanita dia harus bersikap cerewet untuk memilih calon suami.

Dalam usianya kini, Dayang atau Dayang Nurfaizah Awang Dowty berkata, impiannya ialah perkahwinan yang kekal hingga ke akhir hayat.

"Saya mengimpikan perkahwinan sekali seumur hidup. Oleh itu, untuk memilih pasangan saya perlu cerewet.

"Namun, saya tidaklah meletakkan kriteria ciri-ciri pasangan yang terlalu tinggi. Apa yang penting, dia mesti jujur dan ikhlas dalam perhubungan," katanya.

Apa pun, Dayang akui hingga kini dia belum pernah bercinta.

"Sebagai wanita yang matang, saya juga ada impian untuk mempunyai kehidupan berkeluarga. Tetapi, sampai sekarang saya belum ada calon pasangan lagi.

"Bunyi macam kelakar tetapi itulah kebenarannya. Saya belum pernah ada pengalaman bercinta dengan lelaki.

"Saya mula berdikari dan membina karier seni pada usia 15 tahun. Bayangkan, ketika umur yang mentah itu saya sudah masuk ke studio merakamkan lagu pertama," katanya.

Kata Dayang, lagu pertama yang dirakamnya ialah Hakikat Cinta tetapi dia mula mendapat tempat di hati peminat dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta ciptaan Ajai.

Penyanyi lagu Lelaki Teragung ini berkata, dia sentiasa bersikap positif dan terbuka apabila setiap kali ditanya mengenai jodoh.

Dayang ditemui selepas muncul menghiburkan penonton di konsert amal Tapestry of Colours 2017, baru-baru ini.

Konsert berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) Kuala Lumpur itu adalah anjuran Yayasan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Alumni UTP dan DFP.

Dayang menyanyikan empat lagu iaitu Sri Sarawak, Di Pintu Syurga, Separuh Mati Ku Bercinta dan Lelaki Teragung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 12:28 PM