Dalam kenangan, Dayang bersama penulis lirik, Allahyarham Rudy atau Iman Imran ketika mereka menang di AJL31 lalu. FOTO  Instagram Dayang Nurfaizah
Dalam kenangan, Dayang bersama penulis lirik, Allahyarham Rudy atau Iman Imran ketika mereka menang di AJL31 lalu. FOTO Instagram Dayang Nurfaizah
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah mengakui dia berasa tersentuh ketika menyampaikan lagu Menanti Di Ambang Syurga dendangan asal Datuk Ahmad Jais yang juga 'tribute' kepada penulis lirik, Allahyarham Rudy Imran Shamsudin.

Menurut Dayang atau nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 41, dia juga berasa rindu untuk mendengar komen dari arwah Rudy selepas dia menjayakan sesuatu persembahan atau konsert.

"Saya berasa rindu untuk mendengar komen arwah yang pedas dengan sindiran tetapi saya faham komennya bermaksud positif kerana kami kawan.

"Kalau arwah ada di sini pada konsert malam ini, dia mesti berasa gembira dan bangga dengan saya," katanya kepada Harian Metro.

Dayang ditemui pada sidang media selepas konsert Dayang Nurfaizah & Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO): Belagu yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di sini, malam tadi.

Berkongsi kenangan bersama arwah Rudy, kata Dayang, mereka pernah bersama-sama melakar sejarah dalam bidang seni tanah air.

"Arwah pernah bersama saya ketika kami melakar sejarah menerusi lagu Lelaki Teragung yang menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) dan lagu Di Pintu Syurga.

"Sebab itu, saya mahu buat tribute kepada arwah dalam konsert berprestij ini menerusi lagu klasik Di Ambang Syurga," katanya.

Ditanya mengenai lagu Di Ambang Syurga itu, kata Dayang, ia juga susah dan berat untuk disampaikan pada konsert berkenaan.

"Sebenarnya, agak susah dan berat untuk saya menyampaikan lagu klasik yang menceritakan kehilangan orang yang tersayang ini.

"Sebab itu, saya buat juga tribute untuk arwah Rudy di pentas berprestij ini kerana saya tidak tahu bila dapat peluang lagi selepas ini," katanya.

Untuk rekod, Allahyarham Rudy Imran atau nama penanya, Iman Imran, 47, yang juga bekas wartawan hiburan Harian Metro meninggal dunia akibat kanser usus di kediaman keluarganya di Semenyih, Selangor pada 31 Mac, tahun lalu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 12:35 PM