Dayang mahu mempelbagaikan genre lagu. - FOTO Arkib NSTP
Dayang mahu mempelbagaikan genre lagu. - FOTO Arkib NSTP
Amirul Haswendy Ashari.


PENYANYI popular Dayang Nurfaizah, 37, mengakui bersikap memilih dalam menghasilkan single terbaru kerana tidak mahu terikat dengan irama balada saja.

Dayang berkata, dia ada menerima banyak lagu daripada ramai komposer baru dan lama.

“Semua lagu bergenre balada, hampir sama dengan beberapa karya yang pernah berjaya sebelum ini.

“Majoriti lagu itu bagus tetapi ada sebab mengapa saya terpaksa menolak tawaran mereka dengan baik,” katanya.

Katanya, dia mahu keluar zon selesa dan tidak menolak kemungkinan untuk muncul dengan genre pop atau RnB semula.

Apatah lagi, percubaannya melihat maklum balas peminat ketika menyanyikan semula lagu Dayang Sayang Kamu berentak ‘remix’ yang pernah dimuatkan dalam album tahun 2005 pada konsert ulang tahun Joox beberapa minggu lalu mendapat perhatian luar biasa.

Penyanyi yang popular dengan lagu Lelaki Teragung dan Di Pintu Syurga itu mahu menjadi lebih versetil selain percaya kepelbagaian itu perlu sebagai seorang penghibur.

Dayang kini dalam proses mengumpul lagu untuk dimuatkan dalam album baru yang dijangka siap sepenuhnya tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 4:23 PM