DAYANG Nurfaizah
DAYANG Nurfaizah
Sudirman Mohd Tahir

 

PENYANYI popular Dayang Nurfaizah buat pertama kalinya akan tampil dengan persembahan 'virtual' menerusi Showcase Virtual Dayang Nurfaizah, Isnin ini.

Konsep dan idea yang diketengahkan syarikat rakaman Indigital Music dengan kerjasama stesen radio Hot FM dan Donna itu disiarkan secara virtual menerusi saluran YouTube Indigital Music jam 4 petang.

Dayang berkata, pemilihan lagu itu akan mengimbau kembali kegemilangan kerjayanya di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

"Saya faham dengan kekangan pandemik Covid-19 dan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilalui rakyat Malaysia membuatkan semua orang berjaga-jaga.

"Ramai yang memilih untuk duduk di rumah dan bertepatan dengan itu juga membuatkan saya mengadakan persembahan ini supaya mereka boleh saksikan dari rumah saja.                                                                                                                               

"Ini kali pertama saya mengadakan persembahan secara virtual dan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit. Harapnya peminat tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menyaksikannya nanti," katanya.

Menurut penyanyi yang popular menerusi lagu Di Pintu Syurga itu, dia hanya menggunakan telefon pintar untuk proses rakaman.

Persembahan virtual itu turut mendapat sentuhan dan gubahan muzik oleh Tze Wan.

Menerusi persembahan selama 30 minit itu, Dayang akan menyanyikan lima lagu iaitu Di Pintu Syurga, Tak Pernah Menyerah, Lelaki Teragung, Separuh Mati Ku Bercinta dan lagu raya, Dari Jauh Ku Pohon Maaf nyanyian asal Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 10:26 AM