Oleh Michelle Gun


Dua tahun lalu, penyanyi R&B terkenal tanah air, Dayang Nurfaizah pernah berkongsi pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bersama Anuar Zain.

Bagaimanapun kali ini, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu kembali beraksi solo dalam konsert yang meraikan perjalanan seni 15 tahun di DFP, malam kelmarin.

Pada konsert itu, Dayang membawa peminatnya mengimbau kenangan lama menyusuri titik permulaan kerjayanya hingga ke hari ini menerusi persembahan 15 lagu penuh dan medley. Istimewanya, lagu yang didendangkan penyanyi itu dipilih sendiri oleh peminat.

Diiringi barisan pemuzik hebat di bawah pimpinan pengarah muzik yang tidak asing lagi, Jenny Chin, Dayang memulakan persembahan dengan lagu pop etnik Erti Hidup.

Tampil anggun dalam gaun panjang berkilau berwarna kulit, Dayang terus menghiburkan penonton dengan lagu Bahagia, Perlukan Cinta, Tiba-Tiba serta medley Kembalilah Sayang, Kasih Maafkan dan Coretan Cinta.

Penyanyi itu turut sesekali berkomunikasi dengan penonton malah sempat mengajak mereka menyanyi dan bergoyang badan bersamanya.

Memasuki persembahan kelapannya, Dayang muncul semula di pentas dengan memperagakan gaun berona putih. Dia mendendangkan lagu Sedingin Mana Cintamu diikuti Pintaku Yang Terakhir.

Sebagai artis generasi zaman kini, Dayang tidak lupa mengenang kehebatan artis senior dan mereka yang menjadi pilihannya adalah Allahyarham Kartina Dahari, Adam Ahmad dan Datuk Sharifah Aini. Lagu popular mereka-Hati Ke Hati, Kau Pergi Jua dan Kau Tinggi Di Awan Biru disampaikan dalam gaya tersendiri.

Konsert solo Dayang mencapai kemuncak dengan persembahan lagu bahasa Inggeris popular secara medley iaitu Get Lucky, Love Never Felt So Good dan Happy.

Persembahan diteruskan lagi dengan lagu Ingin Ku Miliki, Dayang Sayang Kamu serta Di Pintu Syurga yang terpilih untuk separuh akhir Muzik-Muzik 29. Pada malam yang bersejarah bagi Dayang itu, dia menutup tirai konsertnya dengan persembahan lagu hit, Seandainya Masih Cinta.

Sementara itu, beberapa artis terkenal hadir memberi sokongan seperti Ajai, Datuk Sheila Majid, Misha Omar dan Tam Spider.

Jaga kesihatan untuk menyanyi

Dayang ketika ditemui selepas persembahan meluahkan kesyukuran kerana berpeluang mengadakan konsert solo pertamanya selepas 15 tahun aktif dalam bidang nyanyian.

"Peluang ini pasti datang kepada setiap penyanyi, cuma perlu banyak bersabar dan terus menunggu. Saya bersyukur malah berharap diberikan rezeki untuk mengadakan konsert solo di sini (DFP) pada masa depan," katanya kepada media.

Mengulas mengenai konsert itu, Dayang mengakui berpuas hati dengan persembahan malam itu yang mengikut kehendak cita rasanya.

"Saya berharap penonton sudah terhibur dan berpuas hati dengan persembahan. Konsert ini sebagai penghargaan kepada peminat yang tidak berhenti menyokong saya selama ini. Tanpa mereka mana mungkin saya dapat bertahan dalam bidang yang mencabar ini," katanya.

Ujar Dayang lagi, dia berdepan cabaran apabila sukar membuat keputusan mengenai pemilihan lagu.

"Pemilihan lagu dibuat beberapa bulan lalu dan merangkumi lagu dari album pertama hingga terbaru. Saya juga bertanyakan kepada peminat saya mengenai seleksi lagu yang mereka mahu dengar.

"Apapun persiapannya, paling penting saya juga perlu memastikan kesihatan diri saya sentiasa di tahap terbaik agar tidak menjejaskan persembahan," katanya.

Dedikasi lagu untuk pihak media

Terdahulu, Dayang sempat mendedikasi lagu Hakikat Cinta buat media yang hadir di atas sokongan mereka sepanjang pembabitannya di arena seni.

"Lagu ini sebagai tanda terima kasih kepada semua media yang setia bersama saya ketika baru mencipta nama dalam industri. Bagi saya pihak media sangat penting dalam jatuh bangun kerjaya seseorang artis," katanya dengan bersungguh-sungguh.

Memiliki sembilan album setakat ini, penyanyi berkulit sawo matang ini pernah berkolaborasi dengan beberapa nama besar dalam bidang seni seperti Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain dan Datuk Ramli Sarip. Tidak ketinggalan artis ternama dari Indonesia, Glenn Fredly, Ruth Sahanaya dan Harvey Malaihollo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:02 AM