Raja Mohamad
Raja Mohamad
Ridzuan Abdul Rahman


SYARIKAT produksi Saphire Screen Sdn Bhd menjelaskan terdapat kekeliruan terhadap dakwaan Raja Mohamad Mohd Ismail, pengurus produksi bagi drama Mr Boss Miss Stalker, Mukhlis 2 dan Biar Aku Jadi Penunggu terbitan mereka bahawa ada tunggakan pembayaran sebanyak RM27,000.

Peguam kepada syarikat produksi ini, Mohd Faiz Iskandar Hamzah berkata, tuntutan sebanyak RM27,000 itu tidak berasas memandangkan pihak-pihak yang terbabit masih lagi dalam proses perbincangan.

Ini kerana terdapat beberapa isu berbangkit yang masih belum diselesaikan termasuk pembayaran menurut terma-terma di dalam perjanjian perkhidmatan di antara syarikat produksi dan Raja Mohamad.

Menurut Faiz, anak guamnya yang turut bersimpati dengan keadaan Raja Mohamad berikutan menghidap kanser kulit sudah pun berjumpa dengan presiden Persatuan Pekerja Professional Filem Malaysia (PROFIMA) beberapa bulan yang lepas untuk menjelaskan perkara ini.

Malah Presiden PROFIMA, Khir Mohd Nor sudah beberapa kali memanggil Raja Mohamad untuk menyelesaikan perkara ini secara baik bersama pihak Saphire Screen dan peguam yang dilantik.

Namun sehingga ke hari ini, Raja Mohamad masih belum tampil untuk menyelesaikan pertikaian itu sebaliknya mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Saphire Screen.

Faiz berkata, anak guamnya berasa kesal terhadap kenyataan itu kerana ianya mencemar nama baiknya dalam industri seni tanah air.

Peguam juga diarahkan Pengarah Urusan Saphire Screen untuk menyelesaikan perkara ini dengan kadar segera dan juga mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadap syarikat produksi itu.

Pada 1 Jun lalu Raja Mohamad mendakwa dia tidak menerima tunggakan bayaran RM27,000 daripada Saphire Screen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 8:22 PM