Syafil Syazwan Jefri

Puchong: Bukan mahu mengkritik sesiapa, tetapi mahu membetulkan persepsi.

Ini tujuan penyanyi, Lan Solo dan isterinya, Nur Sheila Hassim dan penyanyi, Syura Badron mengadakan sidang media hari ini susulan penyelesaian secara baik kes saman fitnah penyanyi, Siti Nordiana atau Nana sebanyak RM2.5 juta terhadap mereka di Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur, semalam.

Kes yang berlanjutan selama dua tahun itu turut membabitkan dua lagi defendan iaitu Pegawai Perhubungan Awam syarikat rakaman, FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.

Peguam yang mewakili mereka, Azlan Abdul Razak berkata, sidang media yang berlangsung di kediaman Lan itu untuk memberitahu secara menyeluruh apa yang sebenarnya berlaku dan fakta yang mungkin terlepas pandang oleh mereka yang tidak berada di mahkamah.

"Ini adalah untuk membetulkan persepsi masyarakat, peminat dan semua orang terhadap anak-anak guam saya," katanya.

Azlan berkata, sebagai peguam dia memerhati tindakan beberapa pihak yang melemparkan pelbagai kata-kata cacian kepada anak guamnya sepanjang tempoh dua tahun setengah kes itu berlangsung.

"Saya sebagai peguam, memerhatikan bahawa, sewaktu kes bermula di mahkamah rendah lagi, terdapat pelbagai kata-kata dan kenyataan berbaur cacian dan makian. Saya percaya, walaupun kes ini sudah selesai, masih ada lagi cacian dan makian," katanya.

Ditanya mengenai sesi perdamaian melalui permohonan maaf semua pihak, Azlan berkata, itu adalah kali pertama permohonan maaf berlaku.

"Sesi bermaaf-maafan yang berlaku semalam adalah kali pertama. Sepanjang kes ini berlangsung, peguam masing-masing tidak menyarankan agar ada komunikasi antara plaintif dan defendan.

"Alhamdulillah, terdapat perbincangan dan persetujuan semua pihak untuk menyelesaikan kes ini secara baik, iaitu melalui Penghakiman Persetujuan.

"Cadangan itu dipersetujui dan ditandatangani menyebabkan kes ini tidak diteruskan sehingga ke penghujungnya. Hakim memberi saranan supaya terma-terma itu boleh dipanjangkan kepada semua pihak termasuk media," katanya.

Penghakiman Persetujuan juga merakamkan tiga terma yang mendapat persetujuan kesemua pihak.

"Terma-terma penghakiman yang mendapat persetujuan adalah, tanpa gangguan terhadap liabiliti semua pihak saling bermaafan di hadapan hakim secara terbuka di mahkamah terbuka, plaintif tidak mempunyai kebebasan untuk memfailkan semula kes ini dan tiada perintah terhadap kos," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 2:53 PM
ALAN Razak (dua dari kiri) bersama Syura Badron (kiri), Lan Solo mengenai persetujuaan menyelesaikan secara baik kes saman fitnah sebanyak RM2.5 juta yang difailkan oleh Siti Nordiana. FOTO Rohanis Shukri
ALAN Razak (dua dari kiri) bersama Syura Badron (kiri), Lan Solo mengenai persetujuaan menyelesaikan secara baik kes saman fitnah sebanyak RM2.5 juta yang difailkan oleh Siti Nordiana. FOTO Rohanis Shukri