Norhadiani Baharom dan Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON popular Fasha Sandha nekad untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Glass Go Media dan mana-mana pihak ketiga yang memalukannya.

Fasha yang kini bercuti bersama keluarga di Australia enggan menerima permohonan maaf yang dikemukakan penganjur pertunjukan fesyen Fenomena Aidilfitri itu.

“Saya faham penganjur memohon maaf tetapi saya masih mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka dan mana-mana pihak ketiga kerana sudah memalukan saya," katanya dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.

Fasha berkata, dia tidak pernah sama sekali menulis nama mana-mana individu di laman Instagramnya iaitu @fashasandha.

"Saya hanya berkongsi perasaan saya terhadap apa yang terjadi pada malam itu. Jadi tidak ada bukti saya memperkatakan keburukan mana-mana pihak seperti yang didakwa.

"Laman IG saya adalah untuk pengikut saya dan saya ada hak untuk menulis apa yang saya mahukan malah mana-mana pihak ketiga tidak patut terasa jika tidak melakukan perkara itu,” katanya.

Dia berkata, mana-mana pihak yang mendakwa dia memburukkan dan mencemarkan jenama yang diusahakan turut akan disaman malu.

"Saya sedikit pun tidak takut. Sekiranya pihak itu merasakan berada di pihak benar, pengikutnya dan pelanggan jenamanya tidak akan beralih arah.

"Itu adalah komen yang tidak masuk akal. Saya tidak gentar terhadap apa-apa kerana ini bukanlah kali pertama pihak ketiga itu menyaman saya,” katanya.

Menurutnya, pihak ketiga itu pernah menghantar saman terhadapnya tujuh tahun lalu tetapi gagal.

"Negara kita ada undang-undang. Selepas ini, pihak ketiga itu boleh memberi sebarang penjelasan sambungan mengenai perkara ini dan saya tidak akan memberikan apa-apa lagi komen berkenaan perkara ini," katanya yang akan menyerahkan sepenuhnya isu itu kepada peguam.

Fasha turut menganggap tindakan yang dilakukan oleh pihak ketiga itu sebagai tindakan kurang matang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 5:19 PM