Alif dan Faizal Tahir
Alif dan Faizal Tahir
Zaara Talita


Kuala Lumpur: "Momen bersama abang saya, Haji Faizal Tahir. Dari dulu, bersembang fasal hendak buat umrah sama-sama tak pernah menjadi. Rupanya kita cuma merancang tapi Dialah sebaik-baik perancang".

Demikian luah pengacara dan pelakon Alif Satar berkongsi keterujaan berkesempatan menunaikan ibadah haji bersama penyanyi Faizal Tahir yang juga sudah dianggap seperti abangnya sendiri.

Menurut Alif atau Muhammad Alif Mohd Satar, 32, sebelum ini mereka beberapa kali pernah merancang untuk mengerjakan umrah bersama di Tanah Suci Makkah namun tidak kesampaian.

Kata Alif, dia memanjatkan kesyukuran dengan nikmat rezeki diberikan dan akan mengingati kenangan manis bersama Faizal di Padang Arafah untuk selamanya.

"Melaksanakan ibadah haji ini tidak pernah bincang sama-sama pun dan secara fitrahnya sekarang kami sama-sama berada di Arafah dengan berkat rezeki yang diberikan oleh-Nya.

"Sejak 2006 sampai sekarang dapat menunaikan haji 2023. Allahuakbar, saya akan hargai pengalaman ini selamanya," katanya.

Berkongsi pengalaman mengerjakan wukuf di Arafah dengan cuaca di Tanah Suci ketika ini, Alif menggambarkan perasaan berada di dalam kereta tanpa memasang penghawa dingin.

"Siapa yang ada pengalaman buat haji, memang sudah tahu cuaca di Arafah macam mana. Namun, Alhamdulillah…Allah mudahkan.

"Kalau nak tahu macam mana rasanya, masuk kereta sewaktu tengah hari tapi jangan pasang penghawa dingin... darab 10 kali," katanya.

Alif berangkat ke Tanah Suci ditemani isteri, Sha Dila Halid untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu bersama-sama pada 21 Jun lalu.

Pasangan Alif dan Sha Dila bernikah pada 2014. Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan tiga anak iaitu Alisha Anugerah, 8, Ariana Mecca, 6 dan Muhammad Ali, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 3:18 PM