PESERTA tekun dengan permainan masing-masing.
PESERTA tekun dengan permainan masing-masing.
Fazurawati Che Lah

Permainan catur dipercayai berasal dari India iaitu pada kurun ke-16 dan ia mula diperkenalkan ke seluruh dunia melalui penjajahan dan perdagangan pada kurun seterusnya.

Kini permainan catur sesuai untuk segenap lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan latar belakang.

Catur juga dipilih sebagai salah satu cabang sukan kompetitif dan dipertandingkan di pelbagai temasya sukan serantau serta dunia.

Berbeza dengan acara sukan lain, pemain catur tidak mengira keupayaan fizikal mereka yang bertanding.

Tiada perbezaan peraturan permainan dikhaskan kepada pemain yang diklasifikasikan sebagai orang kurang upaya (OKU).

Menyedari kehebatan catur, pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Nasrul Humaimi Mahmood menganjurkan Pertandingan Catur Antarabangsa Orang Kurang Upaya Zon Selatan buat kali pertama dengan kerjasama Lions Clubs International dan Persatuan Catur OKU Malaysia di Muar, Johor, baru-baru ini.

PEMENANG bergambar kenangan selepas majlis penyampaian hadiah.
PEMENANG bergambar kenangan selepas majlis penyampaian hadiah.

“Pertandingan itu diadakan bagi pemilihan pemain terbaik untuk mewakili zon selatan ke pertandingan peringkat kebangsaan yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Malah, pertandingan ini juga diadakan bagi mencungkil bakat baru dalam permainan catur OKU, selain itu memberi peluang kepada masyarakat untuk sama-sama beriadah dengan golongan OKU,” katanya yang juga jurulatih pasukan catur kebangsaan untuk Sukan Para ASEAN 2017.

Seramai 34 peserta dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan mengambil bahagian. Kategori kelainan upaya yang dipertandingkan ialah OKU penglihatan, pendengaran dan fizikal.

Menariknya, pertandingan ini turut disertai beberapa atlet negara yang menyumbang pingat sempena Sukan Para ASEAN 2017.

Atlet itu ialah Nur Feiqha Maulad Mohamed Halil, Hanson Ang Ping Ting, Shaharuddin Sidek dan Mohd Farhan Syukry Jamil.

Pertandingan kali ini, Hanson Ang dinobatkan sebagai johan keseluruhan.

DUA peserta berentap.
DUA peserta berentap.

Menurut Hanson Ang, beliau gembira kerana berjaya menebus kehampaan di Sukan Para ASEAN 2017.

“Saya gembira kerana berpeluang bertanding secara sihat bersama rakan sepasukan. Melalui pertandingan ini, saya turut berpeluang mengenali kenalan baru yang berminat dalam sukan paralimpik,” katanya.

Dr Nasrul Humaimi berharap pertandingan catur OKU itu menjadi titik tolak kepada peningkatan bidang sukan itu di dalam negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 2:10 PM