SITI Safura atlet paralimpik catur.
SITI Safura atlet paralimpik catur.
Siti Zarinah Sahib


BIARPUN pergerakan wanita ini agak terbatas kerana menggunakan kerusi roda, kejayaan yang dicapai tidak menggambarkan kekurangan dirinya.

Fizikalnya saja berbeza namun minda, pemikiran dan usaha Siti Safura Jaafar, 36, sentiasa celik malah melangkaui impian individu normal yang lain.

Buktinya dia mampu menggenggam Ijazah Sarjana Kimia Tumbuhan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan kini masih bersemangat menyambung pelajaran dalam bidang doktor falsafah (PhD) Bioinformatiks di Universiti Perdana, Serdang.

Malah wanita kelahiran Negeri Sembilan ini juga atlet paralimpik negara dalam sukan catur.

Bertemu wanita cekal ini dalam majlis anjuran syarikat telekomunikasi di Kuala Lumpur mencipta kekaguman tersendiri. Masakan tidak, di sebalik kesukaran menolak kerusi roda, dia mampu mencipta kejayaan membanggakan keluarganya.

Dalam nada terharu, dia berbisik semuanya kerana ingin membalas pengorbanan ibu ayah yang tidak pernah lelah menjaga dan memberi tunjuk ajar sehingga ke detik ini.

“Saya cukup terkesan dengan pengorbanan mereka. Ibu ayah tidak pernah mengeluh menjaga saya. Mereka menghantar saya ke sekolah hingga ke dalam bilik darjah dan berbincang dengan pihak sekolah untuk memperbaiki infrastruktur agar mesra untuk orang kelainan upaya (OKU).

“Ia membuatkan saya rasa perlu berusaha lebih agar pengorbanan ibu ayah tidak sia-sia,” kata Presiden Persatuan Spinal Muscular Atrophy Malaysia (SMAM) ini.

Sebagai pesakit atropi otot spina (SMA), Siti Safura tidak lokek bercerita. Simptom penyakitnya mula dikesan ketika dia berusia dua tahun. Walaupun boleh berjalan, dia sukar berdiri dan duduk.

“Saya tidak pernah berlari. Apabila berjalan mudah terjatuh dan tidak stabil. Ibu bapa membawa saya menemui pakar kanak-kanak di Hospital Besar, Seremban.

“Pada mulanya doktor mendiagnosis sebagai distrofi otot berdasarkan tanda yang saya alami tetapi dia mengesyorkan ujian biopsi dengan mengambil sedikit otot untuk mengenalpasti penyakit,” katanya.

Namun ibu ayahnya tidak bersetuju, apatah lagi apabila doktor memberitahu jangka hayat Siti Safura tidak panjang, mungkin sekitar 20 tahun saja.

Ibu ayahnya membawa dia menjalani pemeriksaan kesihatan berkala termasuk mendapatkan terapi fizikal dan terapi hidro untuk mengekalkan kekuatan dan kelenturan otot.

Bagaimanapun kesihatannya kian merosot dan dia terpaksa menggunakan kerusi roda pada usia 13 tahun. Kala memasuki umur 15 tahun (1998), Siti Safura mengalami pembengkokan tulang belakang atau skoliosis.

Siti Safura hanya mengetahui mengenai penyakitnya ketika berusia 23 tahun selepas ujian biopsi di Hospital Kuala Lumpur (HKL)

“Sebaik mengetahuinya, saya bersyukur akhirnya pencarian saya kini lebih fokus. Saya ingin melakukan banyak perkara namun sering berasakan hayat saya terlalu singkat walaupun kini sudah 16 tahun melepasi jangkaan doktor.

“Saya bersyukur kerana semakin positif dalam menerima segala takdir, qada dan qadar hidup saya. Saya yakin penciptaan Allah bukanlah sia-sia termasuklah diri saya sendiri,” ujarnya.

SITI Safura (kanan) bersama bapanya, Jaapar Abdullah. FOTO: Faiz Anuar
SITI Safura (kanan) bersama bapanya, Jaapar Abdullah. FOTO: Faiz Anuar

ATLET SUKAN CATUR

Siti Safura yang juga atlet sukan catur paralimpik negara mengakui pembabitannya dalam sukan ini berlaku secara tidak sengaja, walaupun dia sudah menjadi pemain catur sekolah hingga memasuki pertandingan peringkat negeri.

Namun selepas 12 tahun melepaskan papan catur, pada 2012, dia bertemu remaja berusia 13 tahun yang kemurungan akibat kehilangan kakak akibat SMA, lantas dia mencadangkan remaja ini bermain catur supaya dapat berkawan dan meningkatkan keyakinan diri.

“Tidak sangka saya yang hanya mahu menemani adik ini ke pertandingan catur akhirnya ditawarkan menjadi atlet sukan catur dan Melaka ke Sukan Paralimpiad 2012 di Kuantan, Pahang.

“Alhamdulillah saya mendapat pingat perak dalam Kategori Individu Wanita, pingat emas bagi Kategori Berkumpulan Wanita dan pasukan Melaka mendapat juara keseluruhan bagi acara catur.

“Di situlah bermula karier sebagai atlet para sukan catur. Pada 2015, saya disunting untuk mewakili Negeri Sembilan sehingga kini. Pencapaian terbaik saya pada Para Sukma Ipoh 2018 apabila memenangi pingat Emas (Individu Standard P1) dan mewakili Malaysia dalam Acara Catur Fizikal Wanita Individu dan Berpasukan di Sukan Paralimpik Asean, Kuala Lumpur 2017.

“Saya terpilih lagi mewakili negara dalam acara Catur Fizikal Wanita Individu & Berpasukan pada Sukan Paralimpik Asean, Manila 2020 pada Januari 2020 akan datang,” ceritanya yang berazam mengharumkan nama negara dalam temasya sukan terbesar seperti Olimpik sama seperti atlet paralimpik ‘elit’ Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly.

Siti Safura sebenarnya memasang impian bergelar pensyarah dan saintis kerana jiwa pendidik sememangnya mengalir dalam tubuhnya. Dia juga berazam melahirkan lebih ramai pemimpin muda dalam kalangan pesakit SMA, agar dapat menjadi inspirasi kepada pesakit lain.

SENTIASA POSITIF

Siti Safura mengakui terpaksa mengharapkan ibu ayah menguruskan kehidupan harian termasuk kerja rumah. Begitu juga dengan kemudahan infrastruktur yang terhad bagi pengguna kerusi roda menyebabkan dia terpaksa melupakan niat untuk ke pusat beli-belah yang tiada kemudahan laluan pengguna berkerusi roda.

“Pernah juga saya rasakan diri ini menjadi beban kepada orang di sekeliling. ‘Awak ni beratlah’, ‘Awak suka menyusahkan orang lain’, ‘Awak memang tak mampu lakukannya’ adalah antara yang mengguris hati saya sebagai pesakit SMA.

“Sedih apabila ia diucapkan oleh orang yang rapat dengan saya. Namun kini saya lali dengan hinaan berbisa itu yang saya terjemahkan dengan kejayaan demi kejayaan.

“Saya juga sedih kerana terlepas banyak peluang untuk melakukan sesuatu hanya kerana keterbatasan fizikal. Namun fasa mengasihani diri sudah berlalu dan saya terima keadaan ini sepenuhnya berkat sokongan ibu ayah, keluarga dan sahabat handai. Saya juga bersyukur mampu menterjemahkan kekurangan ini dengan memaksimumkan potensi untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain,” katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 5:00 AM