MURID prasekolah tekun membuat anyaman daripada daun kelapa.
MURID prasekolah tekun membuat anyaman daripada daun kelapa.
Fazurawati Che Lah

Kebanjiran permainan berasaskan teknologi digital masa kini menyaksikan beberapa permainan membabitkan seni kreatif anyaman tradisi masyarakat seperti daun kelapa kian terhakis dan semakin dilupakan.

Revolusi industri (IR) 4.0 menyajikan pelbagai bentuk gajet, permainan elektronik dan digital membawa perubahan drastik dalam dunia kehidupan kanak-kanak.

Mungkin ramai yang hanya mengenali anyaman daun kelapa seperti ketupat atau kelupis tetapi kurang mengetahui berkenaan anyaman binarabat, kolobon dan kisa.

Anyaman permainan kreatif daun kelapa bukan saja dapat memperkembangkan daya kreativiti kanak-kanak malah mampu mengimbangkan psiko-emosi, sosial, kognitif dan fizikal kanak-kanak.

Dalam usaha meneroka keunikan permainan kreatif daun kelapa, Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling Universiti Malaya (UM) Dr Mohd Nazri Abdul Rahman membangunkan satu Modul Tuninipot Literasi-Kreatif dalam pengembangan bakat kreativiti kanak-kanak menerusi seni tradisi anyaman masyarakat berasaskan daun kelapa.

SEORANG guru mengajar anyaman kepada murid.
SEORANG guru mengajar anyaman kepada murid.

Usaha ini bagi memupuk nilai budaya tradisi masyarakat dan mengembalikan tradisi anyaman dalam kalangan kanak-kanak generasi digital.

Katanya program di bawah bantuan Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares) itu mendapat kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Cawangan Sabah serta Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Kent, Tuaran.

Pelaksanaan projek ini membabitkan kanak-kanak di Tadika Perpaduan KRT Lohan, Kundasang dan prasekolah IPG Kampus Kent seramai 48 kanak-kanak serta empat guru.

Modul Tuninipot Literasi-Kreatif mengintegrasikan aktiviti prabaca menerusi seni kreatif tradisi masyarakat Orang Asal Sabah.

“Penggunaan daun kelapa sebagai medium untuk kemahiran menulis dan kanak-kanak diberi asas kemahiran motor halus anyaman untuk memastikan kecekapan penulisan serta daya fokus.

“Modul ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengenali dan mengalami keunikan anyaman permainan kreatif daun kelapa,” katanya.

MURID prasekolah gembira dengan hasil anyaman masing-masing.
MURID prasekolah gembira dengan hasil anyaman masing-masing.

Jelasnya tujuan pelaksanaan modul itu untuk mengekalkan sumber tradisi masyarakat dan mengoptimumkan sumber semula jadi sebagai bahan pembelajaran secara formal dalam kalangan kanak-kanak Orang Asal Sabah.

Dr Nazri berkata, selain dapat meningkatkan kemahiran prabaca dan pratulis, penggunaan modul ini secara tidak langsung menjadi daya tarikan kepada kanak-kanak untuk ke sekolah setiap hari kerana ingin belajar serta bermain permainan berasaskan anyaman daun kelapa.

Selain itu, pelaksanaan program ini juga memberi perspektif baru dalam pendidikan awal kanak-kanak apabila kemahiran asas seni kraftangan tradisi masyarakat digabung jalinkan dengan kemahiran asas prabaca serta pratulis.

GURU turut mempelajari kemahiran membuat anyaman daripada kertas.
GURU turut mempelajari kemahiran membuat anyaman daripada kertas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 1:08 PM