KANGEN Band memiliki ramai pengikut di sini.
KANGEN Band memiliki ramai pengikut di sini.
Najiy Jefri


NAMA kumpulan Kangen Band dan Bagindas tidak perlu diperkenalkan lagi.

Baik di persada muzik Indonesia, mahupun di Malaysia. Kedua-dua kumpulan ini masih berjaya mengekalkan kedudukan sebagai antara pemuzik terbaik yang pernah ada dalam sejarah industri muzik Indonesia.

Deretan album dan lagu yang pernah dihasilkan dua band ini juga masih menjadi siulan peminat dan pencinta muzik tempatan. Tidak keterlaluan jika dikatakan, karya dan muzik mereka terus hidup.

Tahun lalu, Kangen Band dan Andra Bagindas ini berjaya mengadakan konsert mereka di Kuala Lumpur dengan menyaksikan sambutan yang cukup hebat daripada peminat. Malah, ia sangat dinantikan selepas sekian lama.

Bertitik tolak dari situ, Kangen Band dan Bagindas disatukan dalam Konsert C.I.N.T.A Kembali Pulang Live in Kuala Lumpur Mei ini, di Kuala Lumpur.

Penganjur, Backdoor Entertainment Rosdi Azwan berkata, konsert ini menjanjikan satu kelainan bagi penonton di Malaysia.

"Kemeriahan konsert terdahulu mencipta satu fenomena Asia yang memukau dan menjadi perbualan hangat dalam kalangan peminat muzik dan pemilik media sosial. Apatah lagi konsert itu sudah lama dinanti-nantikan dan dianggap sebagai acara yang di nantikan setiap peminat setia.

"Kali ini, kami bawakan mereka semula di atas satu panggung yang sama. Di dalam gelombang galau dan melodi remix yang memukau, konsert ini pastinya menjanjikan satu pengalamanyang mengasyikkan dan penuh semangat bagi peminat kedua-dua band ini," katanya.

Menurutnya, apa yang lebih menarik adalah dengan satu harga tiket peminat dapat menyaksikan dua band ini beraksi di atas satu pentas.

"Satu fakta penting bagi konsert ini buat peminat di Malaysia,Kangen Band akan menyanyikan 18 lagu dan Bagindas X DjRycko akan menyanyikan 12 lagu berkonsepkan muzik remix.

"Ia seperti membawakan dua element muzik yang berbeza kali ini. Pastinya, persembahan ini bakal mengukir satu lagi konsert fenomena Asia di Malaysia," katanya.

Selain persembahan hebat dari Kangen Band, Bagindas juga turut menampilan DJ Rycko Ria selaku pencipta muzik remix bagi semua lagu Bagindas.

"Dengan kehadiran persembahan luar biasa daripada Kangen Band dan Bagindas X Dj Rycko Ria, konsert ini sememangnya memukau hati penonton di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 6:20 AM