PERTUKANGAN meningkatkan kemahiran murid berkeperluan khas.
PERTUKANGAN meningkatkan kemahiran murid berkeperluan khas.
Fazurawati Che Lah

TIDAK semua kanak-kanak boleh menerima dan menguasai pembelajaran seperti yang diharap serta dirancangkan pihak sekolah.

Ada dalam kalangan mereka berdepan masalah apabila proses pembelajaran tidak berlangsung dengan baik dan cemerlang. Golongan itu adalah kanak-kanak bermasalah pembelajaran.

Secara sedar ataupun tidak, pelbagai pihak cuba memainkan peranan masing-masing atas kesedaran untuk tidak meminggirkan kanak-kanak berkeperluan khas.

Jika dilihat daripada mata kasar, pihak yang paling dekat dengan murid itu adalah guru dan ibu bapa. Malah pihak lain turut mempunyai peranan supaya kanak-kanak berkeperluan khas berkenaan mampu memajukan diri seiring dengan individu yang lain.

Guru pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tun Aminah, Skudai, Johor, Mohd Firdaus Maskan berkata, ada antara kanak-kanak itu boleh berjaya di sekolah dan dalam hidup jika minat mereka dirangsang dan diberikan peluang.

Beliau berkata, setiap individu perlu mencungkil potensi diri dan memahami kelemahan diri masing-masing.

AKTIVITI penanaman sayuran menjadikan murid berkeperluan khas kreatif.
AKTIVITI penanaman sayuran menjadikan murid berkeperluan khas kreatif.

Menurutnya, murid pendidikan khas juga perlu diberi peluang dan ruang untuk menonjolkan bakat bagi mengenal pasti potensi mereka terutama dalam bidang berkaitan kemahiran.

Katanya, mendidik murid pendidikan khas memerlukan pendekatan yang lebih menjurus kepada kemahiran hidup supaya mereka lebih berdikari untuk meneruskan kehidupan.

“Proses ini boleh dilakukan melalui penyertaan dalam pelbagai pertandingan yang memerlukan teknik kemahiran.

“Melalui aktiviti kemahiran, murid cenderung dan seronok untuk mendalami projek yang dirancang, malah mereka juga bersemangat selain ia secara tidak langsung membantu meningkatkan kemahiran insaniah murid,” katanya.

Mohd Firdaus berkata, guru boleh menjalankan kegiatan kemahiran asas dahulu bersama murid berkeperluan khas seperti aktiviti cili fertigasi, membela ikan dan projek inovasi pertukangan seperti rumah orkid.

AKTIVITI badan beruniform menarik minat murid berkeperluan khas.
AKTIVITI badan beruniform menarik minat murid berkeperluan khas.

Selain kegiatan itu, beliau berkata, penyertaan dalam pasukan badan beruniform turut membantu murid berkenaan aktif seperti aktiviti pengakap juga mampu mendorong mereka untuk melonjakkan potensi diri yang memberi banyak manfaat kepada masa depan.

Katanya, potensi di luar akademik yang ada pada pelajar pendidikan khas dapat membantu ibu bapa atau guru untuk menentukan peluang mereka menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam bidang kemahiran.

“Umpamanya, di peringkat menengah kelak, mereka akan didedahkan dengan program kemahiran yang ditawarkan melalui Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) seperti pendawaian, pramusaji dan perhotelan.

“Oleh itu, peluang keemasan ketika di peringkat sekolah rendah sangat bermakna untuk digilap supaya peluang kerjaya pada peringkat menengah dapat ditonjolkan,” katanya.

BIMBINGAN guru perlu dalam proses pertukangan murid berkeperluan khas.
BIMBINGAN guru perlu dalam proses pertukangan murid berkeperluan khas.

Potensi orang kurang upaya (OKU) perlu dikenal pasti dan diasah supaya mampu menyerlah dalam pelbagai bidang seperti anak normal lain.

Setiap tahun, semakin ramai pelajar istimewa dan kurang upaya ini menunjukkan prestasi luar biasa dalam bidang akademik, di samping tidak kurang juga menonjol dalam aktiviti kurikulum.

Ini bukti kejayaan sistem pendidikan khas negara dalam usaha mengasah potensi murid yang memerlukan perhatian dan bimbingan khusus terutama pada peringkat awal persekolahan.

Bagaimanapun Mohd Firdaus berkata, malangnya stigma negatif masyarakat masih menjadi penghalang kepada golongan itu untuk terus berjaya dalam kehidupan.

“Kebanyakan mereka boleh berfungsi dengan normal apabila bercampur dengan masyarakat tetapi semua pihak perlu memberikan sokongan masing-masing.

“Menerusi kegiatan berbentuk kemahiran dan terbabit dengan aktiviti kokurikulum, kanak-kanak ini berpotensi untuk tampil berkeyakinan serta mampu menguruskan diri sendiri pada masa akan datang,” katanya.

SETIAP aktiviti dijalankan perlu kreatif.
SETIAP aktiviti dijalankan perlu kreatif.

Beliau berkata, usaha berterusan antara pentadbir dengan guru perlu konsisten supaya projek dan aktiviti untuk murid berkenaan terisi serta dapat mencapai sesuatu kejayaan yang boleh dimanfaatkan bersama.

Antara ciri-ciri murid pemulihan khas dikenal pasti menerusi emosi dan tingkah laku yang sentiasa risau, rendah diri, sedih, cepat bosan belajar, takut dan tidak bersedia mengikut arahan.

Mereka juga didapati gelisah, suka mengganggu rakan lain di dalam kelas, berperangai ganjil, kurang minat belajar dan berdepan masalah lain seperti gagal kenal mengenal pasti bentuk, turutan, bunyi, ruang serta lemah pergerakan, daya pemikiran serta memori.

BERI peluang untuk murid berkeperluan khas mencuba sendiri aktiviti.
BERI peluang untuk murid berkeperluan khas mencuba sendiri aktiviti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 11:20 AM