Dr Mahani (tiga dari kiri) menerima Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Sunway-MAF. Turut kelihatan, Khairy (empat dari kanan). FOTO FB Khairy Jamaluddin
Dr Mahani (tiga dari kiri) menerima Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Sunway-MAF. Turut kelihatan, Khairy (empat dari kanan). FOTO FB Khairy Jamaluddin
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Sunway-MAF dinobatkan kepada Pegawai Aids Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu Dr Mahani Nordin atas sumbangannya yang melangkaui tugas dalam membantu masyarakat setempat terhadap HIV dan Aids.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat berbangga dengan pencapaian Pegawai Perubatan di Cawangan HIV, Pengurusan Pesakit Kelamin (STI) dan hepatitis C di JKN Terengganu itu.

Beliau berkata, Dr Mahani mula bekerjasama dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) sehingga ke masyarakat di peringkat individu pada 2009.

"Antara sumbangan Dr Mahani adalah mengasaskan Komuniti Cakna Terengganu yang bertujuan mengurangkan impak negatif serta kemudaratan akibat dadah dan HIV/Aids kepada individu, keluarga dan komuniti keseluruhannya, hasil perbincangan beliau dengan Allahyarham Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan.

"Selain itu, Dr Mahani juga berkolaborasi dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu bagi mendapatkan dana penubuhan rumah perlindungan bagi mereka yang hidup dengan HIV (PLHIV) dan berisiko, serta menjalankan advokasi sehingga kumpulan PLHIV diterima baik oleh masyarakat sekeliling tanpa stigma dan diskriminasi," katanya dalam hantaran di Facebook (FB), hari ini.

Dr Mahani. FOTO FB Khairy Jamaluddin
Dr Mahani. FOTO FB Khairy Jamaluddin

Khairy berkata, Dr Mahani juga menyumbangkan satu ekar tanah miliknya pada 2010 bagi membantu penubuhan rumah perlindungan lelaki serta kawasan pertanian yang dinamakan Baitul Cakna Lelaki di Kampung Baru Ajil sebagai tempat perlindungan dan sumber pendapatan kepada bekas pengguna dadah yang tinggal di sana.

Selain itu, beliau berkata, Dr Mahani meyakinkan Kerajaan Terengganu sehingga menyumbangkan sebidang tanah di Kampung Pelandan, Hulu Terengganu (komitmen 4.04686 hektar tanah dari kerajaan negeri) untuk membangunkan penempatan PLHIV dan berisiko yang merangkumi satu rumah perlindungan lelaki, satu rumah perlindungan wanita dan kanak-kanak, surau, bengkel jahitan dan bengkel penyediaan cili boh.

"Dr Mahani memperkasakan komuniti pengguna dadah ini sehingga berjaya pulih dan seterusnya mempunyai keyakinan diri untuk kembali menyertai masyarakat tanpa sebarang stigma.

"Bagi meningkatkan ekonomi penghuni PLHIV, mereka mengusahakan projek fertigasi sayur-sayuran sehingga berjaya dipasarkan ke kawasan sekitar.

"Tahun ini, Dr Mahani terus mengorak langkah dengan meyakinkan kerajaan negeri Terengganu sehingga tertubuhnya sebuah lagi rumah perlindungan untuk pengguna dadah yang dikenali sebagai Darul Barokah di Marang.

"Penghuni di situ dibimbing untuk meningkatkan tahap ekonomi dengan menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan," katanya.

Khairy berkata, atas semua sumbangan itu Dr Mahani menerima Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Sunway-MAF oleh Yayasan Aids Malaysia.

"Dr Mahani bukan sahaja kebanggaan kami di KKM tetapi juga adalah 'role model' kepada semua Keluarga Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 6:17 PM