KAKITANGAN Bank HSBC bertungkus-lumus membungkus 100,000 bungkusan makanan.
KAKITANGAN Bank HSBC bertungkus-lumus membungkus 100,000 bungkusan makanan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Lebih 350 kakitangan bank HSBC dari Pusat Perkhidmatan Global dan sukarelawan bank berkenaan mengambil masa lebih 1,800 jam untuk menyiapkan 100,000 bungkusan makanan.

Setiap bungkusan makanan itu mengandungi bahan mentah seperti beras, kacang dal, sayur-sayuran kering dan vitamin untuk hidangan enam orang.

Bungkusan makanan itu kemudian diagihkan kepada golongan memerlukan termasuk Orang Asli dan pelarian Myanmar menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sumbangan itu sempena program Membungkus Makanan anjuran Bank HSBC kali keempat dengan kerjasama Rise Against Hunger iaitu sebuah pertubuhan bantuan kelaparan antarabangsa yang memberi bantuan makanan kepada golongan memerlukan.

Pengarah Pusat Perkhidmatan Global HSBC Malaysia, Neeti Mahajan berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan program Makanan Sedunia (WFP), satu daripada sembilan orang di dunia secara puratanya kekurangan makanan sihat.

ANTARA kakitangan Bank HSBC yang terbabit dengan program Membungkus Makanan
ANTARA kakitangan Bank HSBC yang terbabit dengan program Membungkus Makanan

“Sementara satu daripada enam kanak-kanak di negara membangun pula menghadapi masalah kurang berat badan.

“Statistik ini menunjukkan setiap orang mempunyai tanggungjawab membantu orang lain terutama yang menghadapi masalah seperti ini (kekurangan makanan),” katanya dalam satu kenyataan.

Malah pihaknya gembira kerana kerjasama itu masih dapat diteruskan, sekali gus membolehkan kakitangan Bank HSBC terbabit dengan kerja sosial.

Neeti juga mengharapkan program dan kerjasama seperti itu antara usaha menggalakkan institusi kewangan atau syarikat korporat lain lebih giat melakukannya supaya lebih ramai golongan memerlukan dibantu.

“Ramai lagi golongan terbabit perlu perhatian rakyat Malaysia. Kita juga perlu menghargai makanan serta menjauhi pembaziran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 1:22 AM