DOA sentiasa dipanjatkan sebelum melakukan aktiviti sukarelawan.
DOA sentiasa dipanjatkan sebelum melakukan aktiviti sukarelawan.
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Selesai tugasan di pejabat atau tempat kerja ahli Kelab Myvi Gen 3 (MG3C) bergegas ke Jalan Chow Kit di sini, bagi melakukan persiapan sebelum mengagihkan makanan dan barangan keperluan asas kepada warga kota kurang bernasib baik.

Selepas semua ahli kelab tiba mereka bergotong-royong membungkus makanan ditempah dan barangan keperluan harian yang akan diagihkan.

Itulah kesungguhan ahli kelab MG3C yang bukan saja tampil membantu sebaliknya mahu merasa sendiri kepayahan golongan kurang berkemampuan.

Antara golongan sasaran MG3C adalah ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), anak yatim dan gelandangan.

Presiden MG3C Mohd Affan Mohd Aris berkata, program membabitkan ahli kelab itu dianjurkan satu atau dua kali setiap bulan bergantung kepada keadaan.

GELANDANGAN beratur ketika mengambil pek yang disediakan.
GELANDANGAN beratur ketika mengambil pek yang disediakan.

Katanya, MG3C sentiasa merangka aktiviti kemasyarakatan dengan menggalakkan ahli menyertainya supaya dapat menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan, sekali gus memberikan peluang kepada mereka untuk berbakti.

“Segelintir masyarakat menganggap persatuan atau kumpulan yang ahlinya terdiri dalam kalangan pemilik kenderaan hanya tertumpu kepada aktiviti permotoran atau berkumpul semata-mata untuk menunjukkan kelebihan kereta masing-masing.

“Namun, sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan terutama memberi bantuan sewajarnya kepada golongan memerlukan,” katanya.

Mohd Affan berkata, MG3C ditubuhkan Disember tahun lalu mempunyai 321 ahli seluruh negara yang bergiat aktif melakukan pelbagai aktiviti kebajikan.

“Kami akan merangka aktiviti berfaedah dan terbaru menyediakan makan malam bagi gelandangan. Pada setiap sesi kami mengagihkan 300 bungkusan makanan sekitar ibu kota.

“Malah, kami turut mengedarkan 300 kit kebersihan dan kesihatan seperti ubat gigi, berus gigi, sabun dan syampu kepada gelandangan,” katanya.

AHLI MG3C mengagihkan makanan kepada golongan gelandangan di ibu kota.
AHLI MG3C mengagihkan makanan kepada golongan gelandangan di ibu kota.

Selain itu, Mohd Affan berkata, pihaknya dalam perancangan untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana khusus penduduk di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang terdedah kepada ancaman banjir pada musim tengkujuh.

“Jika berlaku banjir ahli kami memang sedia ke kawasan terjejas untuk membantu sebagai persediaan kami sudah mula menggerakkan usaha mengumpul dana bagi disalurkan kepada mangsa bencana itu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 12:29 PM