Nor Hanisah Kamaruzaman


Pandangan atau luahan rasa tidak semestinya diekspresikan secara lisan atau dicoret dengan pena.

Golongan muda kini lebih bijak memanfaatkan industri kreatif seperti seni visual sebagai medium menyampaikan pendapat dan apa yang terlintas dalam fikiran.

Mengetengahkan pendapat melalui penghasilan karya seni, barisan 10 artis menampilkan kerja tangan dalam satu pameran yang diberi nama ‘We r Gen Y’.

Pameran yang bertujuan memperkenalkan nama baru dalam industri seni itu turut meraih pengiktirafan daripada pengunjung serta penggemar seni.

Sebanyak 18 hasil karya dipamerkan dan kebanyakan karya yang dipertonton di Galeri G13 itu dihasilkan menggunakan medium akrilik, cat minyak serta campuran media di atas kanvas.

Barisan artis muda yang menyertai pameran berkenaan adalah Chayanin Kwangkaew, Choon Soon Leong, Heikal Taki, Nik Shazmie, Safar Zin, Yuki Tham, Ismail Awi, Raimi Sani, Syahmi Jamaluddin dan Syed Fakaruddin.

Pameran yang berlangsung sehingga 30 Jun terbuka dan orang ramai dijemput hadir bagi menghayati dan menghargai hasil seni yang diketengahkan.

Karya Syahmi antara karya menarik ‘meluahkan’ kritikan dan rasa hati penyalahgunaan ilmu dan kuasa secara global terutama antara negara maju.

Siri karya menampilkan potret pemimpin tiga negara peneraju senjata nuklear yang dilakar dengan serabut melambangkan ketegangan serta pergolakan kuasa.

Selain itu, karya Heikal mencerminkan ‘women empowerment’ atau memperkasakan wanita dalam konteks politik, sosial dan ekonomi.

Heikal berpendapat, wanita perlu dirai kerana jantina bukan lagi penghalang bagi individu untuk berjaya.

Karya yang dihasilkan dari medium akrilik di atas kanvas itu mengetengahkan wanita yang dilukis secara dominan pada karya itu bagi meningkatkan kesedaran terhadap perjuangan kesaksamaan jantina.

INFO

PAMERAN WE R GEN Y (Berkumpulan, 10 artis)

- Jumlah karya: 18

- Tarikh: 16 Jun hingga 30 Jun 2016

- Waktu: 11 pagi hingga 5 petang (tutup Ahad dan cuti umum)

- Lokasi: Galeri G13, Tingkat Bawah Blok B, Kelana Square, Kelana Jaya, Selangor

- FB: http://www.facebook.com/G13gallery

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 12:06 PM