PILIH genre muzik kegemaran untuk single pertama sebagai penyanyi.
PILIH genre muzik kegemaran untuk single pertama sebagai penyanyi.
Oleh Michelle Gun


Memulakan pembabitannya dalam industri muzik seni tanah air sebagai DJ, kini penyanyi dari Indonesia, Rizuka mengembangkan bakatnya dalam bidang nyanyian.

Pemilik nama sebenar Rizka Noviani Putri itu tampil dengan single pertama berjudul Nobody Else yang membawakan genre Electronic Dance Music (EDM). Terbukti single itu berjaya apabila menjadi Hot Track di iTunes Indonesia selama dua minggu berturut-turut selepas dilancarkan pada 9 September lalu.

Berikutan kejayaan itu, Rizuka, 24, memperkenalkan single Nobody Else ciptaan DJ terkenal Indonesia, DJ Riri kepada peminat muzik di negara ini. Pastinya ada yang mempersoalkan kenapa juara FHM GND (Girl Next Door) 2014 Indonesia ini berani mempertaruhkan lagu berentak rancak sedangkan genre itu bukan trend industri seni muzik di Indonesia mahupun Malaysia.

Jelas penyanyi berasal dari Medan itu, dia sememangnya penggemar muzik EDM dan bukan peminat lagu dangdut.

“Muzik EDM kini popular dalam kalangan golongan muda dan fenomena ini membuatkan saya yakin untuk menghasilkan lagu seperti itu,” katanya yang meminati DJ terkenal, Skrillex.

Menceritakan pembabitannya dalam industri muzik, Rizuka ketika pelancaran single Nobody Else di Warner Music Malaysia baru-baru ini mula menceburi bidang nyanyian pada usia 20 tahun.

“Sebenarnya saya pernah mengeluarkan single, namun tidak serius sebaliknya lebih menumpu dalam karier DJ, lakonan dan modeling. Kali ini, saya nekad memastikan karier nyanyian berjaya,” katanya.

Menurut pelakon filem Hantu Merah Casablanca itu, minat menyanyi bermula sejak kecil lagi dan sering berlatih di studio rakaman milik bapa saudaranya.

“Bapa saudara yang mengajar saya menyanyi dan saya sendiri sudah lama menyimpan impian untuk menjadi artis,” katanya.

Mengenai perancangan seterusnya, juara pertandingan Pioneer Controller DJ Battle 2015 Championship itu merancang untuk menghasilkan single baru setiap tiga bulan sebelum mengeluarkan album.

“Bagaimanapun, saya perlu melihat sambutan single pertama dulu sebelum merancang langkah seterusnya. Selain me–nyanyi, saya berhasrat untuk membuka perniagaan menjual pakaian dan mengarang lagu,” katanya.

Selain mempromosikan single Nobody Else di negara ini, Jumaat lalu Rizuka turut membuat persembahan pertamanya di Zouk Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 5:00 AM