IKHWAN dan Didi pertaruhkan Percaya.
IKHWAN dan Didi pertaruhkan Percaya.
Michelle Gun


Mungkin ramai tidak me–nyedari penyampai radio Kool FM, Ikhwan yang juga pelakon turut berbakat sebagai penyanyi dan penulis lirik.

Berpengalaman lebih sedekad dalam industri muzik tanah air, Ikhwan yang menggunakan nama Nawhki memperkenalkan single duet baru, Percaya bersama Didi Astillah.

Pernah bekerjasama dengan beberapa penya–nyi seperti Daly Filsuf dan Dynda menghasilkan single, Ikhwan mahu lebih serius dalam karier nyanyiannya.

“Mencari rezeki sebagai penyanyi bukan mudah kerana ada cabarannya. Walaupun sudah mempunyai beberapa lagu, nama kurang menonjol kerana orang lebih mengenalinya sebagai Ikhwan.

“Ketika itu, saya terkilan apabila dua lagu sebelum ini tidak diterima stesen radio tempatan,” katanya yang meminati muzik hip hop sejak kanak-kanak.

Ditanya strategi mempromosi single Percaya, Ikhwan berkata, dia menggunakan aplikasi penstriman muzik untuk memperkenalkan lagu itu kepada pendengar di seluruh negara.

“Pada zaman moden ini, peminat muzik lebih gemar mendengar lagu menerusi platfom digital seperti YouTube dan Spotify. Saya terima hakikat kalau stesen radio enggan memutarkan lagu itu kerana ia perkara biasa dan pernah dilalui sebelum ini,” katanya.

Bercerita mengenai kerjasamanya dengan Didi, Ikhwan berkata, pada asalnya dia mahu berduet dengan penyanyi lelaki.

“Sewaktu mencari-cari penyanyi sesuai, Warner Music Malaysia mencadangkan Didi kerana pengalamannya dalam bidang nyanyian selain pernah menyertai program realiti Idola Kecil.

“Rakaman single itu dibuat tahun lalu dan hanya dilancarkan bulan ini kerana menunggu masa sesuai,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi berusia 33 tahun ini tiada perancangan untuk meninggalkan kerjaya sebagai penyampai radio kerana menganggap bidang itu membawa rezeki kepadanya.

“Sejak berpindah ke Kool FM, nama saya semakin dikenali orang ramai. Selepas ini, saya akan mengeluarkan single duet baru bersama seorang penyanyi lelaki,” katanya.

Masih aktif menyanyi

Didi atau nama sebenarnya Dayang Nazilah Awang Astillah, 20, berharap single Percaya dapat menaikkan namanya semula dalam industri muzik tanah air.

“Ada orang ingat saya sudah tidak aktif menyanyi kerana kurang mengeluarkan lagu baru. Saya minat bidang muzik dan mana mungkin meninggalkan karier nyanyian begitu saja,” katanya.

Menurut gadis berasal dari Sandakan, Sabah ini, matlamat utamanya menjadi penyanyi bukan bertujuan mengejar populariti.

“Walaupun nama jarang dipaparkan dalam media, saya bersyukur kerana masih menerima undangan membuat persembahan di majlis,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Didi menyimpan hasrat melanjutkan pelajarannya ke peringkat universiti dalam bidang muzik sekitar hujung tahun ini.

“Buat masa ini, saya belum memilih institut pengajian tinggi. Kalau boleh, saya mahu sambung belajar di Kota Kinabalu kerana ingin dekat dengan keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 5:00 AM