YUKA dan Amir sahut cabaran sertai aktiviti lasak bersama Halim dan Naim.
YUKA dan Amir sahut cabaran sertai aktiviti lasak bersama Halim dan Naim.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Menyahut seruan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ke arah rakyat Malaysia yang lebih sihat, stesen radio Suria FM membawakan program Cabaran Grandstand Suria FM yang berlangsung sejak awal tahun ini.

Program membabitkan penyampai radio, Halim Othman dan Naim Tahak ini turut memberi peluang kepada pendengar melakukan aktiviti sihat di samping beramah mesra dengan penyampai radio dan selebriti.

Halim berkata, antara aktiviti dalam program yang bermula sejak Januari lalu ialah konvoi motosikal berkuasa tinggi, merasai pengalaman sebagai anggota bomba dan penyelamat, lumba kereta dan aktiviti berkuda.

“Program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pendengar Suria FM. Tak sangka ramai pendengar berminat untuk menyertai program kami. Kami tidak tetapkan syarat usia kerana ingin memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat melakukan aktiviti sihat,” katanya pada Cabaran Grandstand Suria FM di Gua Damai, Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.

Selain Halim dan Naim, program terbabit disertai Amir Raja Lawak dan penyanyi Indonesia, Yuka Kharisma.

Menurut Halim, acara terakhir program berkenaan iaitu cabaran bot naga berlangsung pada 19 Disember ini di Putrajaya.

Dalam pada itu, Naim berkata, ada dalam kalangan pendengar dari luar Lembah Klang seperti Johor sanggup datang semata-mata ingin turut serta dalam aktiviti yang dijalankan.

“Kami sangat terharu apabila ada yang sanggup datang dari jauh. Selain itu, seorang wanita berusia 65 tahun turut menyertai aktiviti berkuda dan dia menjadi inspirasi buat generasi muda untuk sama-sama melakukan aktiviti sihat,” katanya.

Suria FM adalah stesen radio pertama di Malaysia mewujudkan segmen penuh untuk sukan selama empat jam sejak 2012.

Sepanjang diwujudkan, program Grandstand Suria menjemput ramai ikon sukan terdiri daripada atlet dan pakar dalam bidang sukan sebagai tetamu jemputan membincangkan isu sukan.

“Selain menjemput dan membicarakan hal sukan dengan mereka yang terlibat dalam bidang ini, kami turut membuat liputan sekiranya ada acara berkaitan sukan,” katanya.

Melihatkan respons positif sebegini, program Cabaran Grandstand Suria FM akan diteruskan pada tahun depan dengan pelbagai cabaran lain yang lebih menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 5:00 AM