KUMPULAN Ruffedge terus diminati.
KUMPULAN Ruffedge terus diminati.
Rudy Imran Shamsudin


HAMPIR 13 tahun beroperasi, Suria FM menjadi antara stesen radio paling pantas berkembang dengan jumlah 2.3 juta pendengar.

Bukan itu saja, Suria juga kini berada dalam senarai lima stesen radio paling popular.

Bagaimanapun, kejayaan itu tidak diperoleh dengan mudah, apatah lagi operasinya berjalan dalam situasi begitu banyak kekangan dan kekurangan.

Pengurus Program Suria, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin berkata, penyampai di Suria FM perlu bekerja keras dalam memastikan corak persembahan mereka dapat memenangi hati pendengar kerana tidak seperti stesen radio lain yang mempunyai sokongan daripada televisyen dan media cetak.

“Kami perlu bekerja kuat, apatah lagi dengan kemajuan teknologi sekarang, bukan saja bersaing dengan stesen radio lain tetapi juga teknologi digital yang kini menjadi pilihan golongan muda,” katanya.

Lin berkata, pihaknya tidak meminggirkan pengisian menerusi digital supaya Suria FM tidak ketinggalan dan pada waktu sama ia dapat menyediakan pilihan kepada pendengar pelbagai peringkat usia.

“Setakat ini saya boleh sifatkan semua penyampai dan kakitangan sokongan melaksanakan tugas mereka dengan baik. Bayangkan dalam masa 13 tahun kami sudah berada dalam senarai stesen radio yang diminati pendengar.

“Ia satu pencapaian cukup membanggakan dan Suria FM bertuah kerana mempunyai kakitangan hebat dan bekerja tidak kira masa.

“Pada waktu sama mereka juga tidak lokek untuk berkongsi idea. Itu sangat penting selain daripada menggembleng tenaga dengan bekerja tidak mengira waktu,” katanya.

“Persaingan program pagi bagi stesen radio sangat penting dan menjadi ‘senjata’ utama dalam menarik pendengar dan pengiklan.

“Saya bangga apabila menerusi kaji selidik dijalankan penyampai pagi iaitu Issey dan Fizi berjaya melaksanakan tugas dengan baik dan penerimaan pendengar terhadap program mereka juga positif. Bagi memantapkan lagi corak persembahan segmen pagi, baru-baru ini Suria menampilkan Issey dan Fizi bergandingan dengan beberapa selebriti.

ANTARA segmen menarik perhatian.
ANTARA segmen menarik perhatian.

“Terbaharu kami menampilkan gandingan Fizi dan Issey bersama penyampai radio ‘otai’ yang belum hilang taringnya iaitu Fara Fauzana,” katanya.

Menurut Lin, selepas hampir seminggu Fara tampil bersama Fizi dan Issey, mereka menerima banyak maklum balas positif membuatkan pihak pengurusan Suria FM bercadang untuk mengekalkan gandingan itu dalam tempoh yang lama.

“Boleh dikatakan setiap segmen di Suria FM dan penyampainya mempunyai keistimewaan tersendiri. Cik Pia dengan corak penyampaian yang bersahaja yang membuatkan pendengar terasa dekat.

“Begitu juga dengan program petang yang dikendalikan Tyzo, Suraya dan Sharifah Shahirah atau nama glamournya untuk program petang Rara. Cara penyampaian yang gila-gila dan mencuit hati juga antara kelebihan dimiliki ketiga-tiga penyampai ini dalam memenangi hati pendengar Suria,” katanya.

Dalam memastikan Suria FM terus relevan dalam industri radio, mereka merangka beberapa strategi promosi supaya stesen radio itu dapat mendekati pendengar termasuk melaksanakan aktiviti seperti Jelajah Suria sepanjang September bermula di Central I-City Shah Alam, baru-baru ini.

Selain penyampai bertemu pendengar secara bersemuka, Jelajah Suria turut menampilkan persembahan artis popular antaranya Dayang Nurfaizah, Exists, Ruffedge, Sufian Suhaimi, Tajul dan Shima.

Issey dan Fizi serasi dengan Fara Fauzana

Strategi pihak pengurusan menggandingkan Issey dan Fizi dengan selebriti berlainan dalam segmen pagi setiap hari memberikan cabaran yang bukan sedikit buat mereka.

Pada masa sama, ia turut membantu mereka menjadi lebih kreatif dalam penyampaian.

“Tekanan itu memang ada tapi biasalah manusia ini apabila berada dalam tekanan akan menjadi lebih bijak, panjang akal dan lebih kreatif,” kata Issey ketika ditemui.

Bercerita mengenai penampilan Fara, Issey berkata, mereka menyambut baik kehadiran bekas penyampai Hot FM itu.

“Saya dan Fizi seronok apabila dapat berganding dengan Fara. Bayangkan waktu saya mula-mula bekerja sebagai penyampai radio, Fara yang melatih saya dan sekarang ini saya menjadi rakan sekerja. Ia bagaikan mimpi dan mimpi itu sudah menjadi kenyataan,” katanya.

Bagi Fizi, walaupun mereka baru digandingkan dengan Fara, tetapi banyak perkara yang mereka dapat belajar daripada penyampai berpengalaman itu.

“Pada mulanya rasa gementar itu ada, tapi sebaik kami bertemu dan menyesuaikan diri, saya dan Issey cepat selesa dengan Fara dan tidak kekok,” katanya.

Lebih membuatkan Fizi menghormati Fara apabila penyampai radio berpengalaman itu terlebih dulu membuat kajian mengenai dia dan Issey serta bagaimana corak penyampaian mereka supaya dia boleh mewujudkan keserasian.

“Sebelum bertugas Fara terlebih dulu mendengar program yang kami kendalikan. Dia mengkaji dan cuba mengenali keperibadian kami selaku rakan sekerja.

“Seperkara lagi, sejak kami bersama Fara tidak sekalipun dia cuba memonopoli program yang kami sama-sama kendalikan.

“Jauh sekali dia cuba merendahkan kami supaya dia dilihat lebih menonjol. Malah ketika bersiaran Fara berusaha untuk membawa kami bersama dalam corak penyampaiannya supaya kami dilihat setara walaupun dia jauh lebih berpengalaman,” katanya.

Seperti juga Issey, Fizi berharap gandingan mereka bertiga akan diteruskan dalam tempoh yang panjang kerana suka akan keserasian yang sudah terbina antara mereka.

PENONTON pada Karisma Jelajah Suria 2019 di Central iCity Shah Alam.
PENONTON pada Karisma Jelajah Suria 2019 di Central iCity Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 5:40 AM