PESERTA Kumpulan Islah berehat sebaik tiba di ABC.
PESERTA Kumpulan Islah berehat sebaik tiba di ABC.
RUMAH rehat di Ghoreapani, tempat laluan dibuat penduduk kampung tanpa mendapat bayaran daripada kerajaan.
RUMAH rehat di Ghoreapani, tempat laluan dibuat penduduk kampung tanpa mendapat bayaran daripada kerajaan.
PEMANDANGAN gunung yang berkabus dan bersalji.
PEMANDANGAN gunung yang berkabus dan bersalji.
PENDAKI dari seluruh dunia kini sudah boleh teruskan aktiviti itu.
PENDAKI dari seluruh dunia kini sudah boleh teruskan aktiviti itu.
Oleh Masni Ros Pakir Mohamad


Sejak gempa bumi melanda Nepal pada 25 April lalu, jumlah pelancong dan pendaki gunung yang berkunjung ke negara itu turun mendadak.

Gempa bumi kuat itu mengorbankan lebih 9,000 nyawa manakala puluhan ribu lagi tercedera selain banyak bangunan musnah.

Sejak itu, Nepal makin sunyi kerana tidak ramai pendaki mahu menakluki banjaran tinggi di negara itu lagi termasuk Gunung Everest dan Annapurna.

Keadaan itu menyebabkan sumber pendapatan penduduk di banjaran berkenaan terjejas teruk kerana aktiviti mendaki gunung menjadi sumber pendapatan utama mereka.

Menyedari hakikat ini, penduduk Nepal terutama mereka yang terbabit dalam sektor pelancongan berusaha sedaya upaya membaiki dan memulihkan infrastruktur dan kemudahan yang diperlukan pendaki.

Enggan terus meratapi nasib malang, pengusaha hotel dan penginapan bekerja keras membaiki bangunan masing-masing yang rosak dalam bencana itu.

Penduduk lain pula sepakat membaiki jalan dan laluan mendaki yang terjejas meskipun tidak mendapat dana daripada kerajaan.

Hasilnya, kemudahan yang diperlukan pendaki untuk meneruskan aktiviti itu kini hampir pulih walaupun kesan bencana itu masih dapat dilihat.

Banyak penginapan dan restoran yang terjejas pula sudah boleh digunakan.

Tidak hairanlah kedatangan enam pendaki berusia 50 hingga 62 tahun dari Kumpulan Islah, Shah Alam ke sana menggembirakan mereka.

Walaupun jumlah mereka tidak ramai, penduduk tempatan teruja dengan kedatangan pendaki dari Malaysia dan bercakap dalam bahasa Melayu. Ini kerana ada dalam kalangan mereka pernah bekerja di Malaysia dan masih boleh berbahasa Melayu.

Pendaki, Fuad Helmi Abu@Suri, 50, berkata, dia bangga kerana penduduk dan jurupandu yang juga pengangkut barang pendaki yang dikenali sebagai porter memberi kerjasama penuh ketika mendaki gunung itu.

Menurutnya, sejak Kumpulan Islah diwujudkan pada 2005, mereka sudah mendaki beberapa gunung di negara ini dan Indonesia.

Rombongan ke Nepal itu diuruskan Puncak Ventures Sdn Bhd. Mereka yang bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terbang terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kathmandu, ibu negara Nepal yang menjadi pintu masuk ke gerbang pe­ngembaraan tanpa had di Banjaran Himalaya.

Penerbangan lima jam dari Kuala Lumpur kemudian diteruskan untuk membeli barang keperluan pendakian dengan menggunakan van.

Pendakian bermula keesokannya di Nayapool dengan peserta diberi penerangan dan menguruskan barangan oleh jurupandu warga tempatan. Pendakian setinggi 1,960 meter bermula jam 8 pagi dan tiba di puncak jam 7 malam.

Fuad Helmi berkata, jalan di Nayapool sedikit mendaki dan sebaik tiba di Birethanti mereka terpaksa melalui laluan bertangga yang makin mendongak sehingga Ulere.

“Ahli rombongan kena berhati-hati kerana jalan licin berikutan hujan renyai-renyai. Kami terpaksa berjalan perlahan dalam cuaca yang agak dingin. Setiba di Ulere, kami bermalam di lodge yang disediakan,” katanya.

Menurutnya, pendaki ke Gunung Annapurna tidak perlu membawa bekalan makanan kerana di setiap destinasi untuk berehat ada banyak restoran. Soal makanan tak perlu khuatir kerana banyak makanan vegetarian dan terdapat lodge.

“Keldai dan kuda juga disediakan untuk mengangkut barang milik pendaki. Tiada masalah untuk mengangkut barangan yang banyak. Rombongan kami kemudian meneruskan perjalanan ke Ghoreapani yang mengambil masa 11 jam kerana keadaan cuaca agak dingin iaitu tujuh hingga lapan darjah Celsius.

“Kami kemudian bertolak ke Poonhill dan perlu bangun jam 4 pagi untuk melihat Banjaran Annapurna. Dari menara yang disediakan, kami tidak boleh berada di situ lebih dua jam. Jika lewat, banjaran itu sudah tidak dapat dilihat lagi kerana disaluti salji.

“Memang sangat indah pemandangan masa itu dan sukar digambarkan keindahannya,” katanya.

Beliau berkata, rombongan itu kemudian meneruskan perjalanan ke Tadapani, Sinuwa dan Deurali. Perjalanan makin sukar dan memenatkan kerana perlu naik dan turun dataran tinggi.

“Ketika tiba di Deurali yang berada setinggi 3,200 meter dari aras laut, kami makin lemah kerana di situ oksigen berkurangan manakala suhu pula dua hingga lima Celsius,” katanya.

Esoknya bermula episod mendaki Annapurna Base Camp atau lebih dikenali sebagai ABC yang mempunyai ketinggian 4,130 meter dari aras laut. Rombongan dibahagikan kepada dua kumpulan. Setiap peserta diambil kadar oksigen dalam tubuh bagi memastikan sama ada mereka boleh meneruskan pendakian atau sebaliknya.

Fuad Helmi berkata, kumpulan pertama seramai enam orang termasuk porter dipilih daripada kalangan mereka yang boleh berjalan laju, manakala kumpulan kedua seramai lima orang.

“Kumpulan pertama memulakan perjalanan jam 8.30 pagi dan tiba jam 11 pagi. Mereka berehat sementara di puncak bagi menunggu ketibaan kumpulan kedua.

“Kumpulan kedua pula menghadapi masalah apabila terpaksa berehat di Mala Petani Machhapuchhare atau lebih dikenali sebagai MBC. Mereka hanya tiba jam 5 petang kerana seorang daripadanya mengalami hipotermia (gejala kesejukan melampau),” katanya.

Menurutnya, keadaan cuaca dingin serta hujan dan kabus tebal menyebabkan mereka sukar meneruskan pendakian.

Akhirnya, semua peserta selamat tiba di ABC dan pegawai perubatan sekali lagi memeriksa kadar oksigen dalam tubuh setiap peserta. Kadar oksigen hendaklah antara 80 hingga 85 peratus bagi memastikan mereka tidak mengalami masalah pernafasan.

“Gunung Annapurna sangat bahaya. Ramai mati akibat salji runtuh yang sering berlaku.

“Akhirnya pada jam 12 tengah hari, kami membuat keputusan turun dari ABC dengan mengikuti laluan lain. Sepanjang perjalanan itu, pelbagai pemandangan indah dapat dilihat. Pokok bunga liar tumbuh subur seolah-olah kawasan pergunungan itu menjadi taman bunga,” katanya.

Menurutnya, mereka melalui beberapa lokasi termasuk menyaksikan tasik di kawasan pergunungan sebelum turun ke Madhu.

Bagaimanapun, ketika mahu pulang, berlaku rapat umum dan perintah berkurung.

“Kami mengambil masa 10 jam untuk keluar dari Madhu ke lapangan terbang. Biasanya perjalanan hanya tiga jam tetapi disebabkan darurat kawasan itu dikawal ketat oleh polis dan tentera,” katanya.

Menurut Fuad Hilmi, berdasarkan pengalamannya mendaki gunung di Nepal, pendaki tidak perlu risau mengenai makanan, tempat penginapan atau tersesat kerana ramai penduduk tempatan melalui kawasan hutan.

Penduduk menggunakan kuda atau keldai sebagai pengangkutan manakala rumah mereka pula diperbuat daripada batu besar yang dipecahkan. Laluan untuk pendaki pula dibuat penduduk kampung tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Tahun depan, rombongan ini merancang mendaki Stok Kangri di Kashmir, India yang mempunyai ketinggian 6,153 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 5:14 AM