AMINAR (kiri) dan Ahmad Tamimi pada sesi autograf, semalam.
AMINAR (kiri) dan Ahmad Tamimi pada sesi autograf, semalam.
Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) tidak akan menaikkan harga kenderaan keluarannya ketika ini meskipun berdepan dengan persekitaran ekonomi yang mencabar khususnya faktor kelemahan ringgit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, setakat ini pihaknya masih lagi menyerap kos yang ditanggung daripada pembelian sesetengah bahagian pemasangan yang dilakukan dalam dolar Amerika Syarikat dan yen Jepun.

Beliau berkata, dalam penentuan dan kemaskini harga, pihaknya sentiasa melihat kepada permintaan serta penawaran dalam pasaran semasa sektor automotif tempatan.

“Kami sebagai syarikat kereta nasional masih mempunyai banyak objektif kecemerlangan yang perlu dicapai supaya sentiasa berada di landasan prestasi yang stabil pada masa depan.

“Walaupun berdepan dengan turun naik ekonomi, namun kita berharap PERODUA menjadi pilihan orang ramai kerana kami menampilkan pilihan kereta mampu milik untuk semua golongan masyarakat yang ingin memiliki kenderaan sendiri,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran buku PERODUA Myvi, ‘Dude, That’s My Car!, di sini, semalam.

PERODUA memperkenalkan buku istimewa yang diterbitkan sempena ulang tahun kesepuluh Myvi menerusi kerjasama dengan MPH Group Malaysia Sdn Bhd yang diedarkan ke kedai buku utama di seluruh negara.

Aminar berkata, buku itu ditulis oleh Ahmad Tamimi Omar yang juga Ketua Perhubungan Media, Jabatan Komunikasi Korporat PERODUA, dicetak 2,000 salinan dengan 1,500 salinan untuk dijual kepada orang ramai dengan harga RM29.90 senaskah manakala selebihnya diberikan kepada perpustakaan dan galeri buku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 6:48 AM