AMINAR Rashid (kiri) memperkenalkan Perodua Myvi edisi terhad.
AMINAR Rashid (kiri) memperkenalkan Perodua Myvi edisi terhad.

Shah Alam: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) melancarkan Perodua Myvi Edisi Komemoratif sempena Karnival Ulang Tahun ke-10 Myvi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, syarikat itu hanya menghasilkan sebanyak 12 unit dengan 10 unit dikhususkan kepada pelanggan manakala selebihnya dikhaskan untuk cabutan bertuah dan pertandingan.

“Harganya masih lagi kekal dengan dijual pada harga RM62,226.54 di atas jalan termasuk insurans. Sejak Myvi diperkenalkan pada Mei 2005, ia menerima sambutan daripada masyarakat Malaysia dengan dijual melebihi 840,000 unit membabitkan 10 varian,” katanya di sini, kelmarin.

Perodua Myvi Edisi Komemoratif itu menerima sentuhan kemasan merah dalam ruangan dalaman manakala bahagian luaran dipenuhi kit badan GearUp yang diserlahkan dengan pelekat gentian karbon serta grafik tampak sporty.

Hanya imej yang berbeza, selain masih mengekalkan rangkaian kuasa serta transmisi sama dengan varian sebelum ini. Sempena ulang tahun itu juga, Perodua memperkenalkan pakej aksesori GearUp Myvi yang dijual antara RM2,900 sehingga RM3,300.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 10:46 AM