Sejak berita percintaan dua juri The Voice, Blake Shelton, 39, dan Gwen Stefani, 46, diketahui umum, ramai cuba mendapatkan komen mereka.

Baru-baru ini portal hiburan E!News berjaya mendapatkan video eksklusif temubual spontan bersama Shelton ketika menuju ke studio rakaman.

Apabila ditanya hubungannya dengan Gwen, Shelton mengatakan segalanya berjalan lancar dan mereka juga cukup gembira bersama.

“Setiap kali ada masa terluang, kami akan keluar berdua. Kadang-kadang saya dan dia keluar bersama teman-teman,” katanya.

Shelton juga dikatakan sudah menemui anak Gwen, Kingston Rossdale, 9, Zuma Nesta Rock Rossdale, 7, dan Apollo Bowie Flynn Rossdale, 2, hasil perkahwinan dengan Gavin Rossdale.

Gwen menfailkan cerai pada 3 Ogos lalu dan berpisah secara rasmi bulan lalu dan 4 November lalu mengumumkan percintaannya dengan Shelton.

Mereka tidak segan bermesra di tempat awam dan berpegangan tangan selepas tamat parti Country Music Association Awards (CMA).

Teman rapat serta keluarga Gwen turut menyokong hubungan mereka dan gembira melihat penyanyi No Doubt itu kelihatan gembira. Mereka juga yakin hubungan itu akan bertahan lama dan mereka bercinta seolah-olah masih remaja.

Bagaimanapun, Gwen dikatakan tidak menyukai berita disebarkan kerana bimbang akan mengganggu emosi anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 5:06 AM