KERUSI bayi yang dilengkapi dengan ciri keselamatan terkini daripada jenama Koopers.
KERUSI bayi yang dilengkapi dengan ciri keselamatan terkini daripada jenama Koopers.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


Masih ramai ibu bapa mengambil mudah mengenai aspek keselamatan anak kecil mereka ketika berada di dalam kenderaan.

Ada yang sanggup memangku bayi mereka daripada menyediakan tempat duduk khas yang lebih selamat dan selesa.

Tindakan memandu sambil memangku anak menyalahi undang-undang dan membahayakan keselamatan jika berlaku kemalangan jalan raya.

Meskipun saban hari media melaporkan mengenai kematian kanak-kanak berpunca daripada kecuaian golongan dewasa ketika di jalanan, penggunaan tempat duduk khas untuk bayi dan kanak-kanak masih tidak dititikberatkan.

Tidak hairanlah jika amat jarang dapat melihat sebuah keluarga yang sanggup memperuntukkan sejumlah wang bagi membeli kerusi bayi dilengkapi ciri keselamatan antarabangsa berbanding berbelanja untuk kehendak lain.

Sejak kebelakangan ini, dilaporkan banyak kemalangan membabitkan kanak-kanak berumur bawah lima tahun yang tercampak keluar dari kenderaan.

Statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menunjukkan kematian membabitkan kanak-kanak berusia satu hingga empat tahun dalam kes ini lebih tinggi iaitu 43.8 peratus, berbanding kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun, 30.2 peratus.

Ramai mengakui penggunaan kerusi bayi di dalam kereta sekurang-kurangnya dapat mengelak kejadian lebih buruk biarpun kerajaan hanya mewajibkan peraturan penggunaan kerusi bayi di dalam kenderaan menjelang 2019.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand dan kebanyakan negara Eropah, penggunaan kerusi bayi diwajibkan malah negara jiran, Singapura turut menguatkuasakan peraturan mewajibkan penggunaannya.

Jika mahu membeli tempat duduk khas untuk bayi dan kanak-kanak, banyak kriteria yang perlu diambil kira dan jangan melihat pada harga semata-mata.

Sebaliknya, dapatkan kerusi khas yang mematuhi standard piawaian keselamatan antarabangsa terkini, ECE R44/04 dan dilengkapi dengan ciri Isofix seperti keluaran jenama Koopers edaran Koopers Distribution Sdn Bhd.

Pengarahnya Wong Pei Min berkata, kerusi bayi keluarannya adalah jenama pertama yang mempunyai ciri keselamatan Isofix dan turut mendapat pengiktirafan daripada Miros.

Jenama terbabit baru saja memasuki pasaran negara ini sejak setahun lalu, namun di peringkat antarabangsa terutama Eropah, ia dikenali lebih 13 tahun.

“Ramai ibu bapa di negara ini memilih kerusi bayi jenama itu kerana ia bukan saja didatangkan dengan rekaan menarik, malah dapat memberi lebih keselesaan kepada si kecil.

“Selain itu, kerusi bayi keluaran jenama ini mudah dipasang, digunakan bersama kereta sorong (model tertentu), lebih stabil dan menepati standard keselamatan antarabangsa.

“Kami menyediakan tempat duduk terbaik untuk si kecil dengan harga mampu milik iaitu bermula RM439 hingga RM1,399 dengan ciri tambahan iaitu jaminan selama empat tahun berbanding dua tahun saja oleh jenama biasa di pasaran,” katanya.

Menurut Wong, terdapat pelbagai model rekaan yang boleh dimiliki iaitu Mambo, Flamenco, Twist dan Step yang berbeza mengikut keperluan serta umur si kecil.

Model Mambo sesuai untuk kenderaan yang mempunyai ciri keselamatan Isofix, boleh dilaras untuk empat kedudukan berbeza, sistem perlindungan sisi, kedudukan kepala boleh ubah serta penutup yang boleh dibasuh.

“Model Flamenco juga mempunyai ciri yang sama dengan tambahan fungsi pengudaraan dalaman dan sesuai untuk bayi dan kanak-kanak berumur sehingga enam tahun (25 kg).

“Untuk model Twist dan Step pula, ia dilengkapi de­ngan fabrik mewah baldu serta penutup yang boleh ditanggal dan dibasuh.

“Semua model ini boleh dibezakan dengan ketetapan saiz iaitu 0 hingga 1 bagi bayi sehingga 18 kilogram (kg), 0 hingga 1,2,3 (bayi sehingga 25 kg) dan 0 hingga 25 kg,” katanya.

Istimewanya, kerusi bayi terbabit boleh dilaraskan di bahagian kepala mengikut ketinggian si kecil, pelapik badan dan kepala mudah alih serta penggunaan fabrik yang bermutu tinggi.

Ia bukan saja menjadikan si kecil anda lebih selesa, malah pada masa sama, membantu menjaga keselamatannya di sepanjang perjalanan.

Tempat duduk bayi keluaran jenama berkenaan sudah pun berada di pasaran negara ini dan ia boleh didapati di kedai barangan bayi atau tempahan secara terus di laman web koopers.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 5:01 AM