DETIK ketika diijab kabul.
DETIK ketika diijab kabul.
MILA anggun dalam persalinan rekaan Seth & Luna Jimiey Whang.
MILA anggun dalam persalinan rekaan Seth & Luna Jimiey Whang.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Hampir sembilan tahun bekerjasama sebagai penyanyi dan pengurus, akhirnya pasangan Mila Jirin, 28, dan Ahmad Ailis Mohamed Mustapha, 36, atau Isz sah bergelar suami isteri, Rabu lalu.

Sepanjang tempoh itu, siapa sangka Isz menaruh hati terhadap Mila atau nama sebenarnya Noorsyarmilla Jirin.

Namun, atas dasar profesional dia terpaksa memendam rasa sehinggalah mereka sering diusik keluarga kedua-dua belah pihak, barulah Mila dan Isz berani meluahkan apa yang terbuku selama ini.

“Ramai kata kami bercinta ketika dia mula-mula bergelar pengurus saya, tapi sebenarnya tak. Hubungan kami betul-betul serius sejak tiga tahun lalu.

“Bermula dengan usikan keluarga yang inginkan kami bersama, ia membuatkan saya sedar. Apatah lagi, dari dulu sampai sekarang kami banyak melakukan kerja bersama. Saya fikir, tak salah kalau kami terus bersama,” kata Mila.

Pasangan ini selamat bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dalam majlis yang diadakan di Subang Jaya, Selangor jam 6.20 petang, Rabu lalu.

Pada majlis pernikahan itu, Mila yang berwalikan bapanya Jirin Burhan, 54, dinikahkan Imam Dan Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Jamek Batu 12, Puchong, Ustaz Mohamed Zainal Khamis.

Dalam majlis itu juga, Mila menerima mas kahwin RM1,001 berserta wang hantaran berjumlah RM23,128.70 dan lima dulang hantaran, manakala pihak Mila membalas dengan tujuh dulang.

Mila yang juga juara Akademi Fantasia musim kelima ini berkata, perancangan untuk berkahwin difikirkan sejak tahun lalu lagi, tetapi hanya pada awal tahun ini mereka memaklumkan kepada keluarga masing-masing.

“Alhamdulillah, pada Aidilfitri lalu kami sepakat untuk melangsungkan majlis nikah pada 11 November. Saya sedar untuk melangkah ke gerbang perkahwinan bukannya mudah, jadi kami tak nak terburu-buru,” katanya yang tidak mengikat tali pertunangan.

Majlis persandingan mereka akan diadakan pada 20 Disember depan di Hotel Tabung Haji, Bayan Lepas, Pulau Pinang dan berkonsepkan tradisional.

Mila berkata, majlis persandingan terpaksa diadakan pada tarikh berkenaan kerana mereka mahu dahulukan pelang­gan yang sudah membuat tempahan pakej perkahwinan dengan syarikat mereka.

“Ia bukan satu masalah kerana yang penting perkara wajib didahulukan. Lagipun, kami juga perlu utamakan perniagaan,” katanya.

Mengikut perancangan asal, Mila mahu mengadakan majlis persandingan sempena hari lahirnya yang jatuh pada 23 Disember, namun tidak ada kekosongan dewan.

Selain itu, lokasi majlis nikah pasangan ini terpaksa ditukar pada saat akhir ekoran masalah cuaca.

“Memang nak buat majlis nikah di rumah. Tapi, selepas melihat insiden khemah jiran terbang akibat hujan baru-baru ini, saya terus bimbang.

“Kami bernasib baik apabila dapat mencari lokasi lain yang jauh lebih selesa. Walaupun majlis diadakan pada hari bekerja, alhamdulillah ramai tetamu hadir,” katanya.

Isz sabar menunggu

Berkongsi mengenai pilihan hatinya, Mila menyifatkan Isz sebagai lelaki yang sangat istimewa.

“Dia ada ketika saya susah dan senang. Sepanjang bersama saya, dia menjalankan tanggungjawabnya dengan baik hingga keluarga mengatakan kami sangat serasi.

“Sebelum ini, saya ada juga perasan yang dia seperti sukakan saya, tapi dia tak cakap apa-apa. Jadi saya pun tak bertanya. Pendek kata, dia sabar dan setia menunggu saya,” katanya.

Bagi Isz pula, kedudukannya sebagai pengurus ketika itu membuatkan dia terpaksa mengalah.

“Semasa di AF lagi saya suka melihat bakatnya. Sehinggalah kami berjumpa semula, dia sering bercerita berkenaan masalahnya sehinggalah saya ditawarkan menjadi pengurusnya.

“Sejak itu saya sudah mula jatuh cinta,” katanya.

Bergelar isteri bermakna habis sudah tanggungjawab bapanya ke atas dirinya.

Pun begitu, sebagai anak sulung dalam keluarga, Mila tetap membantu dan menjalankan tanggungjawabnya seperti biasa.

“Saya jenis dahulukan keluarga, jadi apabila terpaksa tinggal berasingan dengan mereka, sedikit sebanyak saya akan terasa.

“Kini tanggungjawab jatuh ke atas suami pula. Bagaimanapun, saya akan terus membantu keluarga seperti sebelumnya juga,” katanya.

Berkenaan perancangan berbulan madu, Mila memberitahu dia belum memikirkan perkara itu disebabkan kadar tukaran mata wang yang tidak menentu.

“Memang nak pergi bulan madu, tapi nanti dulu. Biarlah tukaran duit stabil baru fikir perkara itu.

“Insya-Allah, jika diizinkan saya dan suami nak membawa kedua-dua belah keluarga pergi menunaikan umrah. Kemudian, baru ke Turki,” katanya.

Ditanya mengenai cahaya mata pula, Mila dan suami me­ngimpikan empat anak.

“Kalau boleh nak berehat setahun dulu. Selepas itu baru fikir soal anak. Tapi, jika dalam masa terdekat Allah nak berikan rezeki, saya okay,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mila masih aktif menyanyi pada acara korporat berbanding muncul di kaca TV.

Selain itu, Mila bersama suami sibuk menguruskan perniagaan kedai makan Embun Urai, pakej perkahwinan Bizmilla Catering dan jenama Baju Kurung Milla.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2015 @ 5:01 AM