Mila Jirin.
Mila Jirin.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi Mila Jirin mengakui rindu akan bidang nyanyian dan dalam usaha memujuk suaminya, Isz Mustapha untuk memberi kebenaran kepadanya kembali aktif ke pentas nyanyian.

Mila atau nama penuhnya Noorsyarmilla Jirin, 35, berkata suaminya sebelum ini bimbang dia tidak dapat memberi tumpuan penuh terhadap keluarga dan perniagaan dalam masa sama.

"Saya sedang berusaha pujuk suami, Insya-Allah doakan saya sebab rindu sangat nak menyanyi. Sebagai seorang yang berdarah seni, saya memang nak sangat teruskan kerjaya nyanyian. Hendak dodoi anak dan dalam tandas pun menyanyi.

"Cuma sekarang masih dalam usaha tetapi nampak gayanya dia sudah mula memberi sedikit peluang. Dia pesan saya perlu seimbangkan tiga perkara iaitu tugas sebagai majikan, ibu dan penyanyi.

"Sebelum ini anak saya masih kecil dan menyusu sehingga umur empat tahun. Suami juga risau jika saya tidak boleh beri fokus terhadap kerja. Dia juga tidak izinkan jika saya perlu ke lokasi yang jauh untuk buat persembahan bagi mengekang daripada berlaku sesuatu tidak elok.

"Jadi, sebagai seorang isteri, perlulah taat namun syukur sekarang dia semakin tunjukkan sokongan setiap kali saya menyanyi pada majlis perkahwinan di premis kami," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kekangan sebelum ini, Mila menjelaskan sebagai wanita berstatus ibu dan perlu memberi fokus kepada seorang cahaya mata lelaki yang sedang membesar.

Juara Akademi Fantasia musim kelima itu berkata, dia juga dalam usaha mencari komposer untuk menghasilkan lagu buatnya satu hari nanti.

"Memang nak tetapi tidak pasti lagi. Saya ada juga bertanya kepada rakan seperjuangan iaitu Akim dan Stacy untuk minta lagu. Selain meminati karya yang mereka hasilkan, kedua-duanya juga adalah rakan saya.

"Namun semuanya berada dalam proses memujuk lagi. Sekali lagi saya memohon semua mendoakan perancangan saya untuk menghasilkan single ini dipermudahkan," kata Mila.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 4:23 PM