Oleh Michelle Gun

Menggunakan ruang tamu rumah untuk merakam lagu sendiri tanpa bantuan mana-mana syarikat rakaman, kumpulan AJR berjaya membina karier dalam industri muzik menerusi single berjudul I'm Ready yang diperkenalkan tahun lalu.

Single itu berjaya mencecah jualan lebih 200,000 salinan, malah turut tersenarai dalam beberapa carta muzik di Amerika Syarikat, sekali gus membakar semangat AJR untuk menghasilkan album berjudul Infinity EP.

Kumpulan dianggotai tiga beradik, Adam, Jack dan Ryan ketika dihubungi baru-baru ini begitu teruja dengan kemunculan album sulung mereka yang mula dipasarkan September lalu.

Adam atau nama sebenar Adam Brett Met, 23, berkata, sebagai permulaan, hanya lima lagu termasuk hit single I'm Ready dimuatkan ke dalam album itu.

"Kami mahu berkongsi lagu yang dicipta dengan peminat secepat mungkin. Album kedua yang kini dalam perancangan memuatkan 13 lagu," katanya.

Berkongsi kisah permulaan karier kumpulan AJR, Adam, mendedahkan dia dan dua adiknya pernah mengumpul duit untuk membeli alat muzik dengan 'basking' di taman Central Park dan Washington Square Park , Amerika Syarikat.

"Itu kisah lapan tahun lalu. Kami nyanyi lagu kumpulan Jackson 5 dan mampu mengutip AS$150 dalam sejam persembahan.

"Dengan hasil kutipan itu, kami membeli keyboard, Ukelili, mikrofon dan beberapa alat muzik lain untuk rakam lagu sendiri yang dilakukan di ruang tamu rumah," katanya.

Kumpulan itu mula mencipta nama dalam industri muzik selepas single I'm Ready berjaya menarik perhatian penyanyi dan penulis lagu popular Sia Furler tahun lalu.

"Lagu itu dicipta Ryan di bilik asramanya ketika puting beliung Sandy melanda Columbia. Kemudian, ketika di kelas Psikologi, dia menghantar pautan klip video lagu itu menerusi Twitter kepada ramai artis rakaman terkenal termasuk Sia.

"Tak sangka Sia memberi maklum balas positif dan membantu kami memperkenalkan lagu itu kepada syarikat rakaman lain," ujarnya.

Tambah Adam, kalau dengar secara teliti, single itu menampilkan ayat kegemaran kartun SpongeBob SquarePants iaitu 'I'm Ready'.

"Kami minat SpongeBob SquarePants dan idea menyelitkan kata katun itu adalah dari Jack. Ryan menulis lirik berdasarkan tagline itu," katanya.

Menjadikan lagu dari era 60-an, The Beetles, Beach Boys, Simon & Garfunkel, Kanye West dan Imagine Dragons sebagai inspirasi mencipta lagu, kumpulan AJR setakat ini menghasilkan 100 lagu.

"Lagu ini dimuatkan dalam album akan datang dan kami memilih karya yang terbaik untuk dikongsi kepada peminat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:02 AM