LAGU terbaru, klip video Adam AF2 berkisar mengenai motivasi, kerohanian.
LAGU terbaru, klip video Adam AF2 berkisar mengenai motivasi, kerohanian.
Oleh Shakilawati Abd Rahman


Bagi melerai kerinduan peminat, Adam AF2 akan membuat kemunculan semula tahun ini dengan melancarkan dua lagu baru dalam waktu terdekat.

Lagu Berani Berjaya ciptaan sepenuhnya oleh Adam akan menemui peminat bulan ini, bahkan peng­gambaran video klip dilakukan Rabu lalu di satu studio di ibu kota.

Masih mengekalkan muzik rancak, lirik lagu barunya tidak menyentuh perihal cinta seperti keba-nyakan lagu sebelum ini.

Kata Adam, dia lebih terpanggil menyanyikan lagu berbentuk motivasi, perkongsian pengalaman hidup serta kerohanian.

"Peminat selalu bertanya bila saya akan muncul dengan lagu baru. Nah, saya hadiahkan mereka Berani Berjaya. Untuk kemunculan semula ini, saya mahu lari dari stail dulu. Meskipun muziknya masih sama, liriknya tidak lagi menyentuh isu cinta antara lelaki dan wanita, sebaliknya lebih kepada kehidupan.

"Saya mahu apa yang disampaikan itu ada pengisian dan nilai yang boleh beri manfaat kepada pendengar," katanya.

Idea menghasilkan lagu ini diperoleh daripada pemerhatian dan pertemuannya dengan ramai orang yang menghargai peluang untuk lebih berjaya dalam hidup.

Sikap positif itu ingin dikongsi dengan peminat dan diharap boleh menjadi pemangkin semangat mereka untuk meraih kejayaan baik dalam kehidupan, kerjaya mahupun pengajian.

"Saya terfikir idea itu apabila berbual dengan sahabat saya, Zairi Mohd Noor. Dia cadangkan supaya saya buat lagu yang boleh jadi membakar semangat anak muda untuk menaikkan taraf hidup mereka. Ia praktikal untuk sesiapa saja, tidak kira ahli sukan, pelajar, peniaga, kakitangan swasta dan kerajaan atau lain-lain.

"Dalam klip video, saya tonjol-kan beberapa watak yang berjaya. Namun untuk aspek hiburan, saya kena tonjol mereka yang popular. Di penghujungnya diselitkan gambar rakyat Malaysia yang popular dan berjaya sebagai pengkongsian dan motivasi khususnya buat anak muda dan pelajar," katanya.

Kata Adam, penggambaran ha-nya ambil masa sehari. Apabila sudah lama tidak berlakon, Adam akui rasa kekok pula tetapi apa yang dirancang berjalan lancar.

"Penampilan saya ada elemen kelakar dan watak mereka yang berjaya dimainkan oleh pelakon tambahan," katanya.

Selain itu, Adam bersyukur kerana impiannya menganjurkan persembahan motivasi di seluruh negara mendapat sokongan padu BKG Group.

Menerusi program itu, mereka menawarkan sesi motivasi kepada penonton yang digabungkan dengan elemen hiburan. Malah, ada perancangan mengembangkan persembahan berkenaan di sembilan negara di Eropah.

"Saya terharu dengan kesungguhan BKG Gruop. Mereka melantik saya sebagai duta syarikat dan sudi bekerjasama menganjurkan per-sembahan motivasi ini.

"Kami sudah ada senarai lokasi dan tarikh, namun belum boleh kongsi kerana menunggu kelulusan pihak berkuasa.

"Menerusi program ini, kami ada banyak perancangan dan pasti ia sangat bermanfaat untuk orang ramai. Mereka bukan saja dapat berhibur tetapi akan ditawarkan sesi motivasi," katanya.

Sempena sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini, Adam turut menghasilkan lagu kerohanian Cinta Rasulullah tapi belum dimainkan di radio.

Katanya, selepas Berani Berjaya akan menyusul pula lagu ciptaan Edry Abdul Halim, Tahan Lama yang menceritakan perjalanan kariernya sepanjang lebih sedekad bergelar penyanyi.

Bersesuaian dengan mesej yang mahu disampaikan, muziknya berbunyi lebih serius dan ada elemen kepahlawanan.

Adam juga akan kembali aktif berlakon dan mengarah. Sebagai permulaan, dia akan menjalani penggambaran drama terlefilem Penjaga Hati untuk TV Al-Hijrah bermula esok.

Dalam karya ini, dia akan beraksi di samping isterinya, Fiza atau Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim sebagai pasangan suami isteri.

"Kali terakhir berlakon pada 2013, sebelum saya berkahwin dengan Fiza. Ketika mejayakan klip video baru-baru ini, rasa kekok pula kerana sudah lama tidak berlakon.

"Kelakar pun ada namun dari situ saya mula dapat rentak dan insya-Allah akan buat yang terbaik dalam Penjaga Hati.

"Kalau ikutkan, ada banyak perancangan, termasuk bercita-cita menghasil dan mengarah filem aksi. Skrip sudah saya siapkan, cuma perlu diolah untuk mencantikkan lagi jalan cerita.

"Saya memang minat filem aksi tetapi tiada orang tawarkan saya. Jadi buatlah filem sendiri, bolehlah berlakon. Kalau projek ini jadi, saya kena turunkan berat badan," kata­nya yang pernah mengarah telefilem Wira Malam Bisikan Naga untuk Astro Ria pada 2009 dan menghasilkan beberapa klip video.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:01 AM