SCHWEINSTEIGER (kiri) minta penyokong Red Devils terus bersabar.
SCHWEINSTEIGER (kiri) minta penyokong Red Devils terus bersabar.
Agensi

London: Pemain tengah Manchester United Bastian Schweinsteiger yakin pengurus Louis van Gaal (gambar) akan membawa kejayaan buat kelab dan meminta penyokong supaya terus bersabar.

Sebahagian peminat setia United sudah mula menunjukkan rasa tidak senang dengan corak permainan pengendali dari Belanda itu di Old Trafford apabila mereka melaungkan perkataan ‘serang, serang, serang’ walaupun pertembungan menentang West Brom itu memihak tuan rumah menerusi keputusan 2-0.

Di sebalik kebimbangan peminat, United kini menduduki tangga keempat Liga Perdana, ketinggalan dua mata di belakang pendahulu City dan Schweinsteiger pantas mengharap penyokong setia Red Devils supaya percaya dengan pelan dirangka Van Gaal.

“Saya dapat melihat ada titik persamaan antara apa yang diamalkan Louis dengan corak permainan di Bayern Munich,” katanya. “Di Munich, jika anda masih ingat, pemain mengambil sedikit masa untuk memahami corak yang mahu dimainkan jurulatih tapi selepas semua serasi, kami menjulang gelaran Bundesliga dan juga Liga Juara-Juara. Ia bukan mengenai Oktober atau November tapi Mei nanti.

“Saya masih ingat penyokong Bayern turut meragui kemampuan pengurus tapi pada hujung musim, kami menang dua gelaran dan selepas itu barulah penyokong suka dengan beliau.

“Saya yakin Louis akan membawa kejayaan kepada United. Saya juga yakin tapi kami ada tugas yang perlu diselesaikan dengan meningkatkan permainan. Saya percaya ia akan berlaku.”

Sambil Schweinsteiger berkata dia faham dengan kekecewaan peminat, bekas bintang Bayern itu juga menegaskan saingan Liga Perdana sangat sengit dan bukan mudah bagi mereka untuk mengatasi semua pasukan terutama ketika bertemu lawan bermain corak bertahan setiap kali hadir di Old Trafford.

“Anda perlu sabar. Tapi anda juga mahu melihat pasukan menang, mendapat keputusan yang diperlukan dan untuk itu, kami perlu menjaringkan gol,” katanya. “Kami sedar apa yang dimahukan peminat tapi bola sepak bukan sekadar menyerang saja.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 9:38 AM