Manchester, England: Pengurus Manchester United Louis van Gaal (gambar) mengaku pasukannya perlu meningkatkan permainan dan bijak mengekang semua tekanan sepanjang beraksi di Old Trafford apabila sekadar menang 1-0 ke atas Sheffield United pada saingan Piala FA.

Skuad kendalian Van Gaal itu dilihat hampir terpaksa beraksi di perlawanan ulangan dengan pasukan divisyen tiga itu sebelum Wayne Rooney menyempurnakan penalti pada masa kecederaan.

Sebelum Rooney menjaringkan gol apabila pemain gantian Memphis Depay dijatuhkan Dean Hammond, United kelihatan bakal mencatat keputusan seri tanpa jaringan buat kali keenam sepanjang 10 aksi di tempat sendiri.

Sebahagian besar penyokong tuan rumah meluahkan rasa kecewa mereka dengan permainan United selain tidak begitu bersemangat dengan gol yang dijaringkan.

“Pemain Manchester United perlu bijak menangani tekanan peminat dan media. Perkara sama turut dialami oleh pengurus,” kata Van Gaal.

“Ia akan memberi kesan tapi jika anda seorang pemain Manchester United, anda perlu mengatasi semua masalah itu.

“Ia bukan saja mengecewakan kakitangan tapi juga pemain dan semua yang terbabit dengan kelab ini.”

Skuad kendalian Van Gaal kini mencatat dua kemenangan berturut-turut selepas lapan aksi tanpa menang sekali gus berharap ia akan menjadi titik permulaan kepada usaha memenangi Piala FA pertama sejak 2004. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 8:03 AM