LIMA pasukan bergambar kenangan selepas menyertai Kejohanan Bola Jaring Ibu Pejabat PAIP.
LIMA pasukan bergambar kenangan selepas menyertai Kejohanan Bola Jaring Ibu Pejabat PAIP.
Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pasukan Teratai muncul juara Kejohanan Bola Jaring Ibu Pejabat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) yang berlangsung di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) di sini, baru-baru ini.

Kejohanan yang diadakan secara liga membabitkan lima pasukan itu menyaksikan Teratai layak diangkat selaku juara selepas meraih 12 mata hasil kemenangan ke atas pasukan Mawar, Anggerik, Cempaka dan Melati.

Kejayaan itu lebih bermakna apabila dua pemain Teratai, Noor Ilyana Mohamed Sokri dan Khamsiah Isa masing-masing dianugerahkan pemain terbaik dan penjaring terbanyak kejohanan dengan 17 gol.

Kejohanan yang dianjurkan Biro Sukan Kelab Kebajikan dan Rekreasi PAIP Berhad itu membabitkan penyertaan 50 pemain dan setiap pasukan diwajibkan menghantar 10 pemain.

Wakil Teratai Noorhasnida Alias berkata, kejohanan itu diadakan bagi mencari pemain berbakat untuk mewakili skuad Ibu Pejabat PAIP pada Kejohanan Bola Jaring PAIP bagi merebut Piala CEO PAIP Berhad.

“Kami menjangka sebanyak 12 pasukan akan menyertai kejohanan itu dan misi kami adalah untuk muncul juara sekali gus menjulang Piala CEO PAIP,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2015 @ 5:07 AM