FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Pekan: Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Abd Halim Aman mendahului senarai 162 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang, sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, berkenan menyempurnakan istiadat pengurniaan itu yang berlangsung di Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan mencemar duli berangkat ke majlis santapan yang berlangsung selepas istiadat pengurniaan.

Turut berangkat ialah anakanda Seri Paduka iaitu Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.

Hadir sama ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan pentadbiran negeri.

Abd Halim antara 12 penerima darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri, bersama-sama Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Suriani Ahmad; KSU Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Ramlan Harun serta Ketua Pengarah (KP) Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Azhar Abdul Manaf.

Turut menerima SSAP ialah Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Zainai Jass; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din; Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim dan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Penerima SSAP lain ialah Ketua Staf Angkatan Tentera Malaysia Lt Jen Datuk Mohd Zakaria Yadi; Pengarah Urusan Lynas Malaysia Datuk Mash Ahmad; Pengerusi Eksekutif Target Resources Sdn Bhd Datuk Mohamed Sofiadin Jaafar serta Presiden dan Pengarah Eksekutif Genting Berhad Tan Kong Han.

Pada istiadat itu, empat individu menerima darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk iaitu Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Pahang Datuk Mahmud Mohd Nawawi; Timbalan Ketua Eksekutif Genting Berhad Malaysia Lim Keong Hui dan Pengarah Eksekutif Nirvana Asia Group Kong Yew Lian.

Sultan Pahang juga berkenan mengurniakan darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang turut membawa gelaran Datuk kepada 11 penerima, antaranya Timbalan KSU Kementerian Perdagangan dan Komoditi Mad Zaidi Mohd Karli@Sukari; KP Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Mejar Jeneral Mohd Rashidi Bujai dan Setiausaha Polis Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin.

Penerima lain ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Dr Mohd Zakaria Ibrahim; Datuk Bandar Kuantan Datuk Hamdan Hussin; CEO Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz; Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad Datuk Baderul Sham Saad; bekas KP KAGAT Mejar Jen Muhamad Azmi Wahab; bekas Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman DCP (B) Azmi Adam; Peguambela dan Peguamcara Rizal Chek Hashim dan Pengarah Urusan Syarikat AR Eastern Sdn Bhd Mejar (B) Ir Mathialagan Chellappan.

Seramai 45 individu menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk antaranya Timbalan KP Kastam (Perkastaman dan Cukai dalam Negeri) Datuk Abdul Halim Ramli; Duta Besar Malaysia Ke Jepun Shahril Effendi Abd Ghany; Duta Besar Malaysia Ke Republik Senegal Zainal Izran Zahari; Pegawai Daerah Jerantut Khairun Nissa Aris serta Pengarah Mineral dan Geosains Pahang Nurul Huda Romli.

Turut menerima DIMP ialah Pengarah Perkhidmatan Kornea, Penyakit Luaran dan Pembedahan Refraktif Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Madya Dr Khairidzan Mohd Kamal; bekas Pengarah Alam Sekitar Pahang Mohd Sani Mat Daud, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wan Haram Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Timbalan Pesuruhjaya Mohamad Zamri Zainul Abidin dan Timbalan KP Kastam Sazali Mohamad.

Penerima lain ialah Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Pentadbiran) Bukit Aman SAC Kamaruzaman Abdullah; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang SAC Mohd Yusri Othman; CEO Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) George Thomas; CEO Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Saiful Zaini Mohd Bokhari; Pengurus Besar YP Plantation Holdings Sdn Bhd Muhamad Fairuz Kamal Mat Noh; CEO Kumpulan Selgate Corporation Sdn Bhd Noor Hisham Mohd Ghouth dan Editor Pengurusan Revon Media Sdn Bhd Johnson Fernandez.

Pada istiadat itu, Sultan Pahang juga berkenan mengurniakan darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) kepada lapan penerima, darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) kepada 13 penerima, darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) kepada sembilan penerima, darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada 15 penerima, Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) kepada 17 penerima, serta masing-masing 14 penerima untuk Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 3:25 PM