Shanghai: Rory McIlroy (gambar) bergelut untuk mencatat 72 pukulan pada pusingan kedua Kejohanan WGC-HSBC di Shanghai semalam sekali gus ketinggalan 10 pukulan di belakang pendahulu Kevin Kisner.

Pemain nombor tiga dunia itu bukanlah satu-satunya pemain bertaraf bintang yang sukar mencari rentak apabila angin kencang melanda lapangan seluas 7,200 ela di Kelab Golf Antarabangsa Sheshan di Shanghai itu.

Rakan sepermainan McIlroy yang juga menduduki ranking 10 teratas dunia, Dustin Johnson dan Rickie Fowler mencatat 72 dan 71 pukulan.

“Saya tidak bermain baik hari ini,” kata pemain Ireland Utara itu. “Rentak permainan agak terganggu. Saya akan cuba memperbaiki permainan hujung minggu dan berharap dapat melakukan beberapa pukulan yang baik.”

Papan markah didominasi dengan catatan melebihi 60 pukulan kelmarin tetapi hanya 16 daripada 78 pemain berjaya mengumpul di bawah 70 semalam.

“Saya pernah melakar 63 di sini,” kata McIlroy yang mengaku masih belum pulih 100 peratus daripada masalah keracunan makanan.

“Tidak ada sebab mengapa saya tidak boleh mengulangi catatan sama hujung minggu ini dan meraih sesuatu.”

Pemain nombor dua dunia dan juara dua kejohanan utama, Jordan Spieth turut hambar apabila mencatat tiga bogey berturut-turut bermula di lubang ke-11.

Ia catatan kedua terburuknya musim ini selepas melakar bogey-bogey-bogey berganda sepanjang tiga lubang pertama di Kejohanan Jelajah PGA Barclays, Ogos lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:06 AM