Rakaman video menunjukkan wanita itu di dalam lubang  dan dikelilingi sekumpulan lelaki yang merejamnya hingga mati.
Rakaman video menunjukkan wanita itu di dalam lubang dan dikelilingi sekumpulan lelaki yang merejamnya hingga mati.

Kabul: Seorang wanita muda mati akibat direjam selepas dia dituduh berzina.

Rakaman video selama 30 saat yang disiarkan media tempatan menunjukkan wanita berkenaan berada di dalam lubang sementara sekumpulan lelaki berserban mengelilinginya dan melontarnya dengan batu.

Wanita itu, yang menurut pegawai bernama Rokhsahana dan berusia antara 19 dan 21 tahun didengari mengucapkan syahadah berulang kali sambil dia direjam.

Kejadian dilapor berlaku seminggu lalu di pinggir Firozkoh, ibu negeri Ghor, wilayah tengah Afghanistan.

Kawasan berkenaan dikuasai Taliban dan pegawai mengesahkan kejadian itu yang videonya menjadi viral di media sosial.

“Ya, rakaman itu menunjukkan Rokhsahana direjam hingga mati,” kata jurucakap Gabenor Ghor Seema Yohenda.

Seema, antara dua gabenor wanita di Afghanistan berkata, keluarga Rokhsahana mengahwinkannya tanpa kerelaannya dan dia ditangkap bersama lelaki lain.

Lelaki terbabit dibebaskan selepas menjalani hukuman sebat.

Seema mengecam kejadian itu dan menggesa Kabul melancarkan operasi tentera di kawasan berkenaan untuk mengusir kumpulan militan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 6:43 AM