SEORANG lelaki berjalan berhampiran dinding masjid yang dipenuhi dengan kesan darah. - EPA
SEORANG lelaki berjalan berhampiran dinding masjid yang dipenuhi dengan kesan darah. - EPA
Agensi

Kabul: Dua serangan bom berani mati ketika solat Jumaat di dua masjid di Afghanistan kelmarin meragut nyawa sekurang-kurangnya 76 mangsa termasuk wanita dan kanak-kanak, kata pegawai dan saksi.

Seorang pengebom berani mati masuk ke sebuah masjid Syiah dan meletupkan diri ketika orang ramai solat di Kabul kelmarin.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri memberitahu, sekurang-kurangnya 56 maut dan 55 lagi cedera dalam serangan di Masjid Imam Zaman di daerah Dasht-e-Barchi di Kabul itu.

Kumpulan militan Daish mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu tetapi tidak mengemukakan bukti menyokong dakwaan mereka.

Seorang penduduk, Ibrahim berkata, tingkap di masjid itu pecah, manakala darah dan daging manusia bertaburan di lantai dan dinding.

“Anda boleh bau darah dan daging manusia di dalam masjid ini. Ini tindakan sangat kejam. Ini bukan tindakan orang beragama Islam.

“Mereka menyerang jemaah bersolat, kini di dalam masjid juga tidak selamat untuk kami beribadat,” tegasnya.

Dalam satu kejadian berasingan, satu serangan bom berani mati membunuh 20 jemaah dan mencederakan puluhan mangsa di sebuah masjid di tengah wilayah Ghor.

Gabenor Balkh, Atta Mohammad Noor yang juga pemimpin parti Jamiat berkata, serangan ketika solat Jumaat itu disasarkan kepada seorang pemimpin parti politik berkenaan.

Bagaimanapun, tiada pihak yang mengaku melancarkan serangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 6:29 AM