SISWA perlu memanfaatkan peluang diberikan sebaik diterima memasuki universiti dan menggunakannya untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas tamat pengajian. - Gambar hiasan
SISWA perlu memanfaatkan peluang diberikan sebaik diterima memasuki universiti dan menggunakannya untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas tamat pengajian. - Gambar hiasan
SERLAHKAN pelbagai kemampuan diri sewaktu di kampus sebagai cara untuk meningkatkan nilai siswa yang berprestij pada mata majikan. - Gambar hiasan
SERLAHKAN pelbagai kemampuan diri sewaktu di kampus sebagai cara untuk meningkatkan nilai siswa yang berprestij pada mata majikan. - Gambar hiasan
TEROKAI pelbagai aktiviti di kampus untuk meningkatkan nilai kompetensi dan holistik diri tanpa meninggalkan tanggungjawab hakiki pada akademik. - Gambar hiasan
TEROKAI pelbagai aktiviti di kampus untuk meningkatkan nilai kompetensi dan holistik diri tanpa meninggalkan tanggungjawab hakiki pada akademik. - Gambar hiasan
Oleh Ruhaiza Rusmin

ruhaizarusmin@media­prima.com.my

Usaha melahirkan siswa holistik dan berdaya saing mengikut piawaian glo­bal bukan mudah. Selain berdepan halangan faktor persekitaran, kekangan minda golongan itu sendiri boleh merencatkan usaha berkenaan.

Ini ditambah dengan sikap sebahagian besar siswa yang masih acuh tak acuh dengan tuntutan semasa.

Kebanyakan mereka masih dengan persepsi selesa kononnya sebaik melangkah ke menara gading, masa depan sudah terjamin.

Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, siswa perlu memahami maksud sebenar holistik iaitu melahirkan golongan seimbang sama ada dari segi intelek, fizikal atau mental.

Beliau berkata, definisi holistik juga perlu difahami pihak lain bagi mengelak salah faham hingga membawa kepada pengertian berbeza.

“Ada pihak menganggap isu ini tak penting kerana berpendapat sebaik menjejakkan kaki ke kampus, siswa secara automatik sudah ada kredibiliti sendiri.

“Tanggapan itu tidak betul kerana siswa golo­ngan yang perlu digilap dari semasa ke semasa, perlu ditambah ilmu dan pengalaman, didedahkan dengan aktiviti kemasyarakatan serta cabaran menyelesaikan masalah atau pemahaman sosial.

“Apabila sudah seimbang, mereka perlu membuktikannya sehingga diyakini pihak lain, itu barulah boleh dikatakan holistik. Ia bukan hanya bersandarkan pada andaian semata-mata,” katanya.

Dr Hassan Basri berkata, banyak isu ditimbulkan industri khususnya daya saing graduan yang dilahirkan universiti.

“Sebagai pihak industri, mereka perlu mencari sumber tenaga kerja daripada dua komponen iaitu siswa dan institusi.

“Sudah tentu pihak industri mahukan graduan yang sudah lengkap de­ngan segala persediaan.

“Malangnya, bukan semuanya lengkap kerana tak ramai yang mampu mencapai piawaian atau memenuhi kriteria diharapkan, sekali gus menimbulkan isu lain, misalnya pengangguran,” katanya.

Setiap tahun, kira-kira 200,000 siswazah dilahirkan di seluruh negara oleh pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) tetapi pada masa sama ribuan lagi yang sudah bergraduasi masih bergelut untuk memperoleh pekerjaan.

Hasil kajian JobStreet mendapati ada beberapa faktor menyebabkan ramai graduan masih menganggur, antaranya masalah sikap dalam diri yang teruk (37 peratus), tiada kemahiran menyelesaikan masalah (26 peratus) dan tahap pengetahuan rendah (24 peratus).

Sementara kajian Manpower Inc pada 2008 pula mendapati majikan mahukan calon pekerja yang dapat memenuhi pelbagai kriteria seperti berintegriti dan jujur, mampu berkomunikasi dengan efektif dan bermotivasi tinggi.

Mengulas mengenai daya saing siswa tempatan, Dr Hassan Basri berkata, kebanyakan mereka hanya ada nilai kompetensi yang tinggi dalam aspek akademik semata-mata sedangkan kini ia sudah tidak lagi menjadi ukuran utama bagi industri.

“Ramai siswa menganggap akademik adalah segalanya-galanya sedangkan pihak industri ada penilaian lain.

“Jadi sangat bahaya apabila siswa hanya menjadi ulat buku semata-mata. Cemerlang dalam akademik, tapi dari aspek lain misalnya semangat kerja berpasukan dan kemampuan berfikir di luar kotak kurang menyerlah.

“Keseimbangan hanya pada satu segi tapi dari segi lain tidak memenuhi piawaian, sekali gus merendahkan nilai holistik disasarkan,” katanya.

Bagi meningkatkan nilai holistik, katanya, golongan berkenaan perlu memanfaatkan peluang dan tempoh belajar di institusi dengan sebaiknya.

“Kita akui kemampuan setiap individu berbeza, tapi ada aspek tertentu yang boleh digilap dan dilonjakkan dengan cara tertentu.

“Misalnya beri mereka peluang melaksanakan projek atau aktiviti secara berpasukan.

“Bagi melahirkan golongan kompeten dan holistik ini, gerakan bersepadu perlu dilaksanakan secara serius termasuk menggesa siswa bergerak aktif dalam aktiviti bermanfaat tanpa kompromi,” katanya.

“Kalau siswa terus beranggapan kononnya masuk dan belajar di universiti bermakna sudah menjamin mereka memasuki zon selesa di alam pekerjaaan, ini bermakna mereka memperjudikan masa depan sendiri.

“Ini kerana dalam istilah pendidikan tinggi, tiada zon selesa dan selamat walaupun berada di IPT. Yang ada cuma zon perjuangan untuk meneruskan kelangsungan masa depan. Siapa yang rajin dan berani berjuang, dia akan menang.

“Bagi yang leka, mereka akan kecundang dan penyesalan pada saat akhir sudah tidak berguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 11:11 AM