SISWA yang mempunyai kredibiliti dalam kelayakan akademik dan pemantapan kemahiran diri yang pelbagai mudah menambat hati majikan dan industri. - Gambar hiasan
SISWA yang mempunyai kredibiliti dalam kelayakan akademik dan pemantapan kemahiran diri yang pelbagai mudah menambat hati majikan dan industri. - Gambar hiasan
GABUNGAN kejayaan akademik dan pemantapan nilai kemahiran diri penting untuk graduan masa kini untuk berdepan cabaran globalisasi. - Gambar hiasan
GABUNGAN kejayaan akademik dan pemantapan nilai kemahiran diri penting untuk graduan masa kini untuk berdepan cabaran globalisasi. - Gambar hiasan
PELBAGAI nilai positif mampu disuntik ke dalam diri siswa menerusi pembabitan dalam aktiviti dijalankan sekali gus menjadikan mereka lebih bersedia berdepan dengan pelbagai cabaran sebaik tamat pengajian. - Gambar hiasan
PELBAGAI nilai positif mampu disuntik ke dalam diri siswa menerusi pembabitan dalam aktiviti dijalankan sekali gus menjadikan mereka lebih bersedia berdepan dengan pelbagai cabaran sebaik tamat pengajian. - Gambar hiasan
AMAT penting bagi siswa menyediakan diri dengan pelbagai kemahiran sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan penuh persaingan. - Gambar hiasan
AMAT penting bagi siswa menyediakan diri dengan pelbagai kemahiran sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan penuh persaingan. - Gambar hiasan
KEMAHIRAN insaniah bukan saja berupaya membentuk keperibadian siswa malah memberi kelebihan kepada golongan itu untuk menunaikan tanggungjawab kepada masyarakat. - Gambar hiasan.
KEMAHIRAN insaniah bukan saja berupaya membentuk keperibadian siswa malah memberi kelebihan kepada golongan itu untuk menunaikan tanggungjawab kepada masyarakat. - Gambar hiasan.
Oleh Ruhaiza Rusmin

Dalam era globalisasi, isu kualiti graduan masih menjadi isu kritikal terutama menyentuh aspek kemampuan mereka memenuhi permintaan masa kini.

Meskipun dari segi kelayakan akademik, keputusan graduan berada di tahap membanggakan, keadaan berbeza jika dinilai melalui kemahiran insaniah.

Kemampuan mereka dalam aspek ini dilihat masih lemah dan belum mampu mencapai standard dikehendaki meskipun penekanan terhadap keperluan ini sering menjadi keutamaan.

Kebolehan generik seperti kemahiran menyelesaikan masalah atau menghasilkan sesuatu yang berfaedah, menerusi cetusan daya kreativiti dan inovasi atau komunikasi belum mampu dikuasai sepenuhnya biarpun amat diperlukan pihak berkepentingan.

Sehingga menimbulkan persoalan, sejauh mana kejayaan kemahiran insaniah ini mampu membantu siswa dalam dunia serba mencabar hari ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA Profesor Datuk Dr Abdullah Mohamad Said berkata kemahiran insaniah adalah satu elemen yang dikenal pasti mampu membantu melonjakkan lagi kemampuan siswa untuk meneroka potensi diri.

Beliau berkata, elemen itu jika digabungkan dengan pencapaian akademik mampu memberi kelebihan ketika mahu memasuki alam pekerjaan sekali gus menjadi pilihan majikan.

“Ramai yang memandang isu kemahiran insaniah ini sebagai sangat remeh kerana menganggapnya tidak selari dengan keperluan semasa.

“Mereka menganggap keputusan akademik akan menjadi penentu dan memberi kelebihan dalam mencari pekerjaan.

“Sedangkan, dalam situasi kompetitif seperti hari ini, kedua-dua aspek itu perlu seimbang bagi melayakkan pemilihan dan penawaran pekerjaan oleh industri,” katanya.

Menurutnya, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang diperkenalkan pada 1988 menyasarkan keberhasilan pendidikan yang mampu melahirkan modal insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektualnya (JERI).

Manakala menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) menyambung kesinambungan ini dengan memperkenalkan dasar, program dan modul baharu seperti Dasar Keusahawanan IPT, Program Kebolehpasaran Graduan dan Modul Kemahiran Insaniah untuk diterapkan di semua IPT.

“Berdasarkan aspek ini, kemahiran insaniah ini adalah elemen yang diberi penekanan khusus selaras hasrat kerajaan dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah aspek lain juga.

“Malangnya, keberhasilan mengenai falsafah yang ingin diterapkan tidak diambil berat oleh sebahagian besar siswa kerana mereka hanya fokus pada satu aspek semata-mata.

“Lebih malang apabila ada dalam kalangan mereka menganggap terbabit dalam aktiviti dianjurkan di institusi sebagai membuang masa.

“Mereka lupa bahawa keperluan pasaran kerjaya masa kini merangkumi pelbagai keperluan dan tiada lagi istilah kecemerlangan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) semata-mata,” katanya.

Kaedah pentaksiran berintegrasi CGPA dalam Pelan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia-Pendidikan Tinggi 2015-2025 (PPPM-PT) turut akan mengambil kira pembabitan siswa dalam kokurikulum, aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawan, kemahiran dan kepimpinan.

Sebelum ini,siswa cemerlang dalam akademik yang memperoleh semua A akan mendapat CPGA 4.0, tetapi melalui kaedah pentaksiran baru ini, mereka perlu cemerlang secara keseluruhan sebelum mendapat CGPA 4.0.

Kaedah ini, katanya, adalah langkah jangka panjang untuk melahirkan graduan yang serba lengkap, serba boleh serta dibekalkan dengan keperluan kemahiran secara holistik serta seimbang.

“Mahu atau tidak, mereka perlu membuat anjakan paradigma sebaik saja menjejakkan kaki di universiti dan mengikuti perubahan aliran semasa.

“Mereka juga perlu akur, apabila meninggalkan bangku persekolahan menengah, perancangan mesti dilakukan segera supaya risiko pengangguran dapat dikurangkan,” katanya ketika ditemui sewaktu Majlis Pelancaran dan Pelepasan Jelajah UiTM di Hati Rakyat 1 Malaysia, baru-baru ini.

Graduan masa kini, katanya akan berdepan dengan pelbagai persaingan sengit dalam dunia pekerjaan dan tanpa kemahiran generik dan komunikasi, mereka akan terlepas banyak peluang pekerjaan.

“Justeru, siswa perlu serius mengambil peluang ini untuk bersaing secara kompetitf dalam dunia pekerjaan kelak.

“Mereka perlu akur bahawa persaingan hari ini sengit, dalam kalangan graduan tempatan, luar negara dan pekerja berpengalaman.

“Buka minda dan lihat betapa peluang mendapatkan pekerjaan sangat sukar jika tiada kekuatan kemahiran,” katanya.

Yang membimbangkan ialah sejauh mana siswa menghayati kepentingan yang ditekankan itu untuk tujuan jangka panjang dan bukan sekadar mahu memenuhi kredit semata-mata.

Menurutnya, institusi menyediakan kemahiran insaniah sebagai satu landasan memperkukuhkan nilai jangka panjang siswa untuk memasuki pekerjaan serta masyarakat.

“Tapi, sebahagian besar siswa pula melakukannya semata-mata untuk mencukupkan nilai kredit dengan meminggirkan impaknya untuk masa depan.

“Cabaran utama institusi ialah bagaimana mahu menukar minda golongan ini agar melihat kemahiran insaniah merangkumi kepentingan lain keseluruhannya,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 10:04 AM