MENYERTAI pelbagai program pastinya akan memberi pengalaman baru kepada pelajar
MENYERTAI pelbagai program pastinya akan memberi pengalaman baru kepada pelajar
ANTARA objektif KI adalah melahirkan pelajar prihatin, mampu bekerjasama dan saling berinteraksi antara satu sama lain, sekali gus membentuk diri mereka dengan nilai positif di kalangan masyarakat - Gambar hiasan.
ANTARA objektif KI adalah melahirkan pelajar prihatin, mampu bekerjasama dan saling berinteraksi antara satu sama lain, sekali gus membentuk diri mereka dengan nilai positif di kalangan masyarakat - Gambar hiasan.
MENYERTAI program dianjurkan di institusi bukan pembaziran, malah membantu melonjakkan pelajar dengan nilai tambah diperlukan di pasaran kerjaya - Gambar hiasan.
MENYERTAI program dianjurkan di institusi bukan pembaziran, malah membantu melonjakkan pelajar dengan nilai tambah diperlukan di pasaran kerjaya - Gambar hiasan.
BAKAL graduan hari ini berdepan cabaran dunia kompetitif, justeru persediaan awal termasuk pemantapan akademik serta KI diperlukan bagi membantu mereka berdaya saing dalam pasaran global - Gambar hiasan.
BAKAL graduan hari ini berdepan cabaran dunia kompetitif, justeru persediaan awal termasuk pemantapan akademik serta KI diperlukan bagi membantu mereka berdaya saing dalam pasaran global - Gambar hiasan.
Oleh Ruhaiza Rusmin


Ketika institusi pendidikan tinggi mewajibkan pelajar memperkasakan diri dengan keperluan Kemahiran Insaniah (KI), ada pihak mempertikaikan usaha itu dengan alasan ia satu ‘gangguan’ terhadap fokus pelajar terhadap pengajian.

Berpendapat KI tidak sepenting keperluan akademik yang diyakini mampu memberi lebih banyak kelebihan, suara pihak ini dikhuatiri mewujudkan persepsi salah kepada golongan sasaran.

Hakikatnya, KI yang dilancarkan atas semangat Falsafah Pendidikan Negara bertujuan membentuk keseimbangan pembangunan modal insan dalam sistem pendidikan negara.

Dengan kata lain, KI satu elemen penting yang menyumbang terhadap lonjakan kredibiliti dan nilai pasaran bakal graduan sebelum memasuki alam kerjaya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said berkata, setiap aktiviti disertai pelajar bukan pembaziran, namun pelaburan jangka panjang bagi golongan terbabit.

Menurutnya, program berbentuk KI adalah satu usaha memperkukuhkan lagi resume pelajar, selain memantapkan jati diri dengan aspek pelbagai kemahiran.

“Justeru, saya kurang bersetuju dengan tanggapan program KI satu pembaziran dan boleh mengganggu tumpuan pelajar terhadap akademik.

“Dalam melahirkan generasi muda yang serba boleh, semua aspek perlu diambil kira termasuk program KI yang ada sasaran untuk dipenuhi.

“Setiap modul dibangunkan ada tujuannya, kerana tumpuan pelajar sekarang bukan hanya akademik semata-mata, malah perlu merangkumi semua.

“Andai kata tiada program KI sebagai sokongan, pelajar akan berdepan kesukaran memenuhi piawaian ditetapkan industri,” katanya sempena Majlis Pelepasan Bantuan Pasca Banjir UiTM, baru-baru ini.

Rentas semasa

Antara kemahiran insaniah digariskan adalah kemahiran komunikasi, menggunakan teknologi, merancang dan mengelola aktiviti, bekerja dengan orang lain dan dalam kumpulan, menyelesaikan masalah, mengurus, memilih dan menganalisis maklumat, menggunakan idea dan teknik matematik, memahami budaya dan kemahiran persediaan untuk kerjaya.

Dr Abdullah berkata, adalah tidak benar sistem pembelajaran bertahap pengajian tinggi hanya memberi fokus terhadap pencapaian akademik semata-mata.

“Dulu, mungkin fokus utama pada akademik serta keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) menjadi penanda aras bagi majikan. Namun, kini senarionya sudah berubah.

“Permintaan industri kini mahukan bakal graduan mempunyai pelbagai kemahiran dan ia juga dilihat menjadi asas kepada penawaran kerja.

“Selaras permintaan itu menyebabkan institusi perlu mengikut rentas semasa dengan memperkenalkan modul pembelajaran seimbang dari semua aspek serta tidak lagi tertumpu pada satu aspek semata-mata,” katanya.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh juga menyatakan bahawa CGPA tidak lagi dikira berdasarkan pencapaian akademik semata-mata di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia-Pendidikan Tinggi 2015-2025 (PPPM-PT).

Sebaliknya, kaedah pentaksiran berintegrasi CGPA dalam PPPM-PT akan mengambil kira pelbagai pembabitan pelajar dalam semua aspek termasuk kokurikulum, aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawan, kemahiran dan kepimpinan.

Ia juga sejajar hasrat pelbagai pihak untuk melahirkan graduan keusahawanan, holistik dan seimbang.

Dengan menggunakan kaedah ini, pelajar perlu cemerlang secara keseluruhan sebelum memperoleh CGPA 4.0

PPPM-PT akan diterjemahkan dalam bentuk 100 inisiatif menerusi tiga gelombang iaitu gelombang pertama untuk tempoh 2013-2015, kedua 2016-2020 dan gelombang ketiga 2021-2025.

Dr Abdullah berkata, pengukuhan pelajar dalam KI boleh membantu golongan itu menyesuaikan diri dengan persekitaran, sekali gus menyelesaikan ‘rungutan’ majikan sebelum ini yang berpendapat kebanyakan graduan seperti teraba-raba mahu menyesuaikan diri.

Lingkungan kampus

Menurutnya, persekitaran kampus yang berbeza dengan alam kerjaya menjadikan bakal graduan sukar menyesuaikan diri.

“KI bertujuan menyelesaikan masalah itu kerana menerusinya pelbagai pendedahan bakal diterima pelajar, menjadikan mereka terdedah dengan persekitaran luar.

“Sebab itu, rugi bagi pelajar yang hanya menumpukan perhatian terhadap akademik saja kerana mereka tidak memperoleh pengalaman baru di luar lingkungan kampus.

“Dunia luar tidak sama dengan belajar. Akademik memang penting tapi jika tiada sokongan KI, sijil yang ada itu mungkin kurang sempurna,” katanya.

Beliau berkata, setiap program KI mempunyai objektifnya sendiri terutama dalam melahirkan graduan berdaya saing, prihatin dan mampu berinteraksi.

“Dulu, ketika sistem pendidikan hanya menumpukan pada aspek kejayaan berbentuk akademik, ada pihak merungut bahawa graduan ini tidak mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran pekerjaan.

“Namun, apabila penekanan diberikan dalam pembangunan KI, ada pula pihak bimbang program dianjurkan akan mengambil masa pelajar dikhuatiri hilang penumpuan pada akademik.

“Pembaharuan dalam sistem pendidikan sedia ada meliputi semua, justeru masyarakat perlu peka dan menerima perubahan itu bertujuan memberi kelebihan kepada pelajar,” katanya.

Beliau berkata, ramai beranggapan KI hanya meliputi aspek kecemerlangan daya intelek, akademiknya, kualiti kerja dan keterampilan semata-mata, walhal sebenarnya turut mencakupi keseluruhan bentuk kemahiran membabitkan penggunaan sains, teknologi, keusahawanan, komunikasi, etika serta profesionalisme yang tinggi.

Menurutnya, KI menambah pelbagai elemen yang didorong daripada permintaan semasa, bukan saja di sektor industri, malah di peringkat global dengan pasaran lebih kompetitif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 3:29 PM