TEROKA dan rebut segala peluang yang ditawarkan universiti sebagai langkah memperbaiki kelemahan diri. - Gambar hiasan
TEROKA dan rebut segala peluang yang ditawarkan universiti sebagai langkah memperbaiki kelemahan diri. - Gambar hiasan
TERBABIT dengan pelbagai aktiviti di kampus boleh menjadi platform memperkasakan kemahiran diri sekali gus bonus sewaktu melangkah ke alam pekerjaan. - Gambar hiasan
TERBABIT dengan pelbagai aktiviti di kampus boleh menjadi platform memperkasakan kemahiran diri sekali gus bonus sewaktu melangkah ke alam pekerjaan. - Gambar hiasan
SISWA perlu tahu apa yang mahu dicapai sebaik saja menjejakkan kaki di institusi pengajian tinggi supaya perancangan berjalan lancar sebaik tamat pengajian. - Gambar hiasan
SISWA perlu tahu apa yang mahu dicapai sebaik saja menjejakkan kaki di institusi pengajian tinggi supaya perancangan berjalan lancar sebaik tamat pengajian. - Gambar hiasan
Oleh Ruhaiza Rusmin


Menjelang majlis konvokesyen di kebanyakan institusi pengajian tinggi (IPT) tidak lama lagi, pas­tinya nasib ribuan bakal graduan bakal terjawab sama ada mereka memperoleh keputusan cemerlang, sederhana atau sebaliknya.

Lebih penting, adakah mereka mendapat pekerjaan selepas itu?

Malangnya, bukan semua bernasib baik kerana terpaksa menerima hakikat mereka bergelar penganggur terhormat.

Biarpun IPT menyediakan pelbagai platform bagi meningkatkan nilai graduan di pasaran kerjaya, ia belum mampu mengekang masalah pengangguran di negara ini.

Apakah masalahnya?

Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Dr Musa Ahmad berkata, masalah graduan sukar mendapat pekerjaan bukan terletak pada faktor pencapaian akademik semata-mata, malah merangkumi kemampuan memperkasakan pelbagai kemahiran lain mengikut keperluan semasa.

Beliau berkata, graduan di negara ini perlu membuat anjakan minda supaya tidak menjadikan akademik sebagai pengukur peluang memperoleh pekerjaan, sebaliknya perlu disuntik dengan elemen kemahiran diperlukan pasaran.

"Setiap tahun, negara kita melahirkan beribu-ribu graduan daripada pelbagai IPT untuk memenuhi permintaan pekerjaan yang terbatas.

"Sudah tentu ini satu cabaran besar bagi mereka kerana bukan saja terpaksa bersaing bagi merebut tempat, tapi bersaing dengan graduan lama yang masih belum mendapat pekerjaan.

"Untuk bersaing, mereka perlu membuat anjakan minda dan melihat pelbagai sudut keperluan, bukannya mengharapkan pencapaian akademik semata-mata," katanya.

Beliau berkata, graduan alaf baru perlu melihat dunia pekerjaan sebagai satu cabaran besar yang komprehensif.

"Keperluan dan cabaran pekerjaan dulu dengan sekarang tidak sama kerana kini lebih kompetitif, lasak dan aktif.

"Majikan tidak lagi meletakkan syarat hanya pada pencapaian akademik, tapi merangkumi ciri-ciri lain sebagai nilai tambah.

"Kemahiran diri adalah salah satu daripadanya dan majikan sering kali membuat penilaian melaluinya, justeru jika graduan tidak mengambil berat aspek ini, ia satu kerugian besar," katanya.

Kebolehpasaran graduan hari ini lebih ditunjangi dengan keperluan kemahiran insaniah yang menyasarkan kemahiran generik merentasi pelbagai domain pembelajaran merangkumi aspek keperibadian dan kerja berkumpulan.

Terdapat tujuh elemen utama Kemahiran Insaniah iaitu kemahiran berkomunikasi, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan, moral dan etika profesional dan kemahiran kepemimpinan.

Beliau berkata, tujuh elemen itu bukan saja meningkatkan nilai graduan pada mata majikan, malah memberi kelebihan kepada graduan 'memasarkan' diri.

"Alaf baru memerlukan individu dilihat secara kolektif oleh industri.

"Manakala pelbagai kemahiran yang diperkenalkan di universiti bertujuan menampung keperluan graduan melang­kah ke alam pekerjaan.

"Graduan perlu mempersiapkan diri dengan keperluan itu sejak awal agar tidak teraba-raba menentukan arah masa depan selepas menamat­kan pengajian," katanya menekankan jika golo­ngan terbabit salah membuat perancangan, mung­kin sukar memperoleh pekerjaan atau pekerjaan tidak setara kelulusan.

"Pengangguran di kalangan graduan sukar diatasi kerana masih ada kelompok yang tidak pandai membuat perancangan selain hanya berserah pada nasib semata-mata.

"Walaupun pengangguran berlaku di mana-mana, kadarnya perlu diturunkan dari semasa ke semasa.

"Ini juga satu kerugian kepada golongan terbabit. Kerana sikap itu mereka menanggung akibatnya sedangkan peluang pekerjaan yang ada tidak pernah menunggu," katanya.

Beliau turut menyifatkan kelayakan akademik hari ini seperti bersaing dengan kemahiran diri.

"Contohnya, saya mempunyai dua calon iaitu A yang mempunyai pencapaian akademik bagus, tapi kurang kemahiran diri.

"Manakala calon B walaupun kelayakan akademiknya tidak terlalu cemerlang, tapi kemahiran dirinya bagus, boleh bekerja secara kumpulan, peka pada persekitaran dan sebagainya.

"Sebagai majikan, tentu B menjadi pilihan kerana dia boleh menjadi aset de­ngan kemahirannya. Semua majikan melakukan perkara sama bagi tujuan ini," katanya.

Justeru, beliau berharap agar siswa memanfaatkan sebaik-baiknya pelbagai peluang diberikan sepanjang pengajian sebelum bergraduasi.

"Jangan asyik dengan buku, tapi cuba teroka segala aspek yang boleh membantu untuk ke alam pekerjaan nanti.

"Zaman kebergantungan pada akademik juga perlu dikikis sebaliknya memperkasakan diri dengan kemahiran diri yang sangat bernilai kini pada mata majikan.

"Bagi graduan, jangan terlampau memilih pekerjaan, bertangguh atau menunggu pekerjaan datang kepada anda. Kalau itulah yang dilakukan, anda pasti terus ketinggalan" katanya.

Untuk mempertingkatkan kualiti graduan USIM, setiap siswa diberi penekanan terhadap keperluan Naqli dan Aqli.

"Ini sejajar hasrat USIM melahirkan graduan bertaraf global yang bukan saja memenuhi kehendak pasaran kerjaya, malah menjadi pemimpin yang baik.

"Selain itu, memperkasakan integrasi ilmu Naqli dan Aqli sebagai teras kejayaan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:01 AM