KECEMERLANGAN akademik semata-mata bukan lagi menjadi penanda aras bagi menjamin masa depan siswa. - Gambar Google
KECEMERLANGAN akademik semata-mata bukan lagi menjadi penanda aras bagi menjamin masa depan siswa. - Gambar Google
SISWA perlu diberi suntikan bersifat global bagi membantu mereka berdepan cabaran dalam pekerjaan. - Gambar Google.
SISWA perlu diberi suntikan bersifat global bagi membantu mereka berdepan cabaran dalam pekerjaan. - Gambar Google.
PROGRAM pengantarabangsaan mampu menjadi platform kepada siswa untuk merasai cabaran globalisasi tanpa batasan. - Gambar hiasan
PROGRAM pengantarabangsaan mampu menjadi platform kepada siswa untuk merasai cabaran globalisasi tanpa batasan. - Gambar hiasan
TUNTUTAN globalisasi sangat kompetitif menjadikan siswa memerlukan persiapan untuk berdepan perubahan drastik dalam banyak aspek. - Gambar Google
TUNTUTAN globalisasi sangat kompetitif menjadikan siswa memerlukan persiapan untuk berdepan perubahan drastik dalam banyak aspek. - Gambar Google
Oleh Ruhaiza Rusmin


Mahasiswa perlu didedahkan dengan kepemimpinan dan pemikiran global agar mereka mampu bersaing dalam menghadapi cabaran globalisasi.

Persiapan melahirkan warga kelas pertama dalam kalangan golongan itu juga rentetan daripada hasrat pelbagai pihak yang mahu melihat siswa mempamerkan kemampuan bagi menyaingi keperluan yang makin kompetitif.

Globalisasi yang menjadi antara inti pati utama dalam usaha melestarikan bidang pendidikan negara juga menjadi landasan untuk memberi peluang kepada siswa bersaing di peringkat antarabangsa, sekali gus memperkasakan kemahiran mereka.

Ini kerana era globalisasi yang serba pantas turut menjadikan Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran. Untuk menyainginya, negara perlu memastikan sistem pendidikan kita bertaraf dunia.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Imran Ho Abdullah berkata, memberi peluang kepada siswa meneroka peringkat global bukan saja dapat membantu golongan itu menjana pengetahuan dan pengalaman, malah turut mempelbagaikan kemahiran seperti pengembangan sistem sosial sejagat.

Beliau berkata, menerusi pendedahan itu, siswa bukan sahaja perlu berdepan dengan keperluan bertahap tinggi dan profesional, malah terpaksa menggembleng setiap kemahiran dan pengetahuan bagi menyaingi tuntutan semasa.

“Menuju tahap global bermakna siswa tidak boleh lagi bergantung harap dengan keupayaan atau pengetahuan sedia ada, sebaliknya perlu bergerak seiring.

“Apabila dikaitkan dengan globalisasi, setiap tahap mempunyai unjuran tertentu yang mempunyai standard bagi memenuhi piawaian global itu sendiri. Ini bermakna siswa perlu bekerja keras, menggembleng segala usaha dan kemahiran agar dapat diselarikan dengan kehendak globalisasi yang tiada had untuk individu mempamerkan potensinya,” katanya.

Katanya, pada era milenium kini, sektor industri, ekonomi dan institusi pengajian tinggi perlu berhempas pulas mengeluarkan produk yang menepati kehendak semasa.

“Kehendak semasa ini pula sangat drastik menyebabkan semua pihak perlu sentiasa bersedia bagi memenuhi permintaan yang sentiasa berubah-ubah.

“Dalam aspek pendidikan, globalisasi menghendaki siswa sentiasa diberi suntikan eleman penting yang boleh membantu mereka meneruskan survival.

“Tanpa elemen penting ini, graduan yang dilahirkan pasti ketinggalan yang bukan saja merugikan diri sendiri, malah pihak lain termasuk pembangunan jangka panjang negara dalam sumber manusia, ekonomi, sosio-budaya dan sebagainya,” katanya.

Berdasarkan kajian dijalankan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) pada tahun 2007 mendapati keperluan pengetahuan, penambahan keyakinan diri dalam komunikasi dan moral profesional menjadi ke­utamaan dalam penjanaan globalisasi.

Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 pula, transformasi yang dilaksanakan secara berperingkat antara langkah bersepadu dilaksanakan Kementerian Pendidikan bagi membantu sektor pendidikan negara mampu menyaingi kehendak globalisasi.

Dr Imran Ho berkata, bukan mudah bagi institusi pengajian tinggi (IPT) melahirkan graduan yang mampu memenuhi keperluan global di tengah-tengah persaingan tanpa sempadan kini.

“Berbanding institusi terkemuka di dunia, IPT di negara ini masih jauh ketinggalan dan baru bertatih membina kecemerlangan.

“Bagaimanapun, itu tidak bermakna kita tidak boleh melatih siswa berkualiti atau graduan berdaya saing mengikut acuan tempatan tapi bertahap antarabangsa.

“Setiap IPT cuba membentuk dan melahirkan siswa terbaik, namun beberapa kekangan tertentu perlu diambil kira,” katanya.

Beliau menegaskan tahap kepelbagaian pendedahan antara aspek terpenting yang perlu ditekankan untuk melahirkan siswa yang mempunyai ciri hebat.

“Menerusi pendedahan itu, misalnya bertemu dengan siswa dari universiti luar negara akan memberi kesempatan kepada siswa kita mempelajari banyak perkara, antaranya memperbaiki cara berkomunikasi, memperkukuhkan kemahiran jati diri, membina keyakinan dan sebagainya.

“Lebih penting, semua kemahiran ini tiada dalam buku atau bilik kuliah kerana akademik bukan lagi dilihat sebagai satu-satunya yang mendapat pengiktirafan utama, sebaliknya memerlukan sokongan lain bagi memantapkan peluang graduan diterima dalam kalangan pesaing,” katanya.

Pengenalan modal insan yang diterapkan kerajaan hampir sedekad lalu, katanya, menjadi asas dan tindakan proaktif untuk menyaingi keperluan dunia pekerjaan bertaraf global.

“Dengan tidak hanya menjadikan pencapaian akademik sebagai pengukur utama, kepelbagaian aspek perlu diterapkan secara berperingkat bagi mengubah pandangan masyarakat agar turut mementingkan keperluan lain yang diperlukan industri.

“Globalisasi tidak terhad pada satu aspek semata-mata kerana semuanya perlu seimbang berikutan persaingan kompetitif sangat memerlukan aspek keseimbangan.

“Jika siswa dan bakal graduan tidak merebut peluang ini ketika di kampus, mereka tidak akan mampu bersaing dan akhirnya akan terus ketinggalan,” katanya.

Beliau mengakui, ramai kini mempersoalkan kemampuan siswa tempatan untuk bersaing di peringkat global.

“Kita tidak nafikan persepsi masyarakat terhadap siswa IPT tempatan agak skeptikal tapi peningkatan ketara sudah dapat dilihat sejak dua dekad lalu.

“Apatah lagi program pengantarabangsaan sudah ditekankan di setiap IPT, sekali gus menjadi platform pertama mereka untuk mengetahui kehendak dan rentak globalisasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 5:01 AM