GRADUAN dianggap aset bernilai untuk meneruskan agenda pembangunan negara untuk jangka panjang. - Gambar hiasan
GRADUAN dianggap aset bernilai untuk meneruskan agenda pembangunan negara untuk jangka panjang. - Gambar hiasan
PERKONGSIAN bersama industri adalah antara platform terbaik untuk berkongsi tip membina kejayaan dalam dunia kerjaya. - Gambar hiasan
PERKONGSIAN bersama industri adalah antara platform terbaik untuk berkongsi tip membina kejayaan dalam dunia kerjaya. - Gambar hiasan
PENTING untuk meningkatkan nilai potensi dan kebolehpasaran graduan sebagai persediaan mereka mudah diterima industri. - Gambar hiasan
PENTING untuk meningkatkan nilai potensi dan kebolehpasaran graduan sebagai persediaan mereka mudah diterima industri. - Gambar hiasan
Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

Pelbagai usaha dilakukan untuk membangunkan nilai potensi dan kebolehpasaran graduan seiring matlamat menjadikan golongan terbabit sebagai peneraju masa depan negara.

Komitmen untuk melaksanakan tanggungjawab itu turut diterjemahkan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) (PPPM(PT) di bawah Lonjakan 2: Kecemerlangan Bakat iaitu kualiti Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Menerusi lonjakan itu, sistem pendidikan tinggi negara boleh dipacu cemerlang seandainya komuniti akademik juga seiring dalam membangunkan pengukuhan jati diri graduan.

Pengurus Kanan Jabatan Jaringan Industri dan Masyarakat merangkap Pegawai Fokal 1 CEO@Faculty Program, Universiti Malaysia Pahang, Mohd Raizalhilmy Mohd Rais berkata, pemantapan terhadap nilai potensi bakal graduan perlu dijadikan antara mandat utama di setiap institusi.

Menurutnya, meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan memerlukan pelbagai usaha dan modul terkini bagi menepati piawaian perubahan yang sentiasa berlaku dalam industri.

“Dalam membina momentum dan meletakkan asas untuk mencungkil potensi bakal graduan ini, sokongan komuniti akademik daripada pendidik, penyelidik, pemimpin institusi dan pengamal profesional hingga kakitangan sokongan sangat diperlukan.

“Gabungan kumpulan ini boleh dijadikan rujukan dan fokus kepada peningkatan kualiti serta kepelbagaian bakat dalam sistem pendidikan.

“Pada masa sama, kumpulan ini juga boleh memantau perjalanan potensi bakal graduan bagi menjadikan mereka relevan, berdaya saing, berkemahiran dan dihormati,” katanya.

Menurutnya, pengukuhan nilai potensi bagi menjamin kebolehpasaran graduan adalah penting untuk pembangunan negara bagi jangka panjang.

“Setiap potensi bakal graduan ini perlu digilap dan diasah kerana mereka adalah aset.

“Dalam istilah pendidikan, tiada seorang individu pun yang tidak mempunyai nilai potensi.

“Membezakannya adakah potensi berkenaan sudah dicungkil dan digilap atau dibiarkan begitu saja?” katanya.

Menerusi hasil laporan Kajian Pengesanan Graduan 2016 yang dijalankan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hingga 22 November lalu, mendapati nilai kadar purata kebolehpasaran graduan Malaysia meningkat sebanyak 1.1 peratus menjadi 77.2 peratus pada tahun lalu berbanding 76.1 peratus pada tahun 2015.

Antara usaha berterusan pihak KPT dalam meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan adalah melalui program CEO@Fakulti yang bermatlamat memberi pendedahan kepada siswa berkenaan dunia sebenar pekerjaan melalui sudut pandangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO/Tokoh Industri terkemuka dan pelbagai latar belakang).

Perkongsian pengalaman dibuat melalui sesi syarahan, siri kuliah jemputan, perbincangan panel pakar dan pengajaran bersama (Co-Teaching) di samping inisiatif lain seperti Program Intervensi dan Program Pusat Kecemerlangan Industri (I-COE), Program Keusahawanan, Purata Nilai Gred Kumulutif Bersepadu@iCGPA dan Program 2u2i (dua tahun universiti dua tahun industri).

Beliau berkata, bersandarkan kepada keperluan untuk menyokong sistem penyampaian Model Ekonomi Baru (NEM), kerajaan juga mengiktiraf manfaat yang unik menerusi kerjasama antara universiti dan industri.

“Sangat penting untuk melihat kerjasama ini dipertingkatkan dari semasa ke semasa kerana ia bukan saja membentuk satu kerjasama antara institusi bersama industri tapi juga membawa bakal graduan terbabit dalam proses itu.

“Dalam senario global yang mencabar hari ini, nilai potensi bakal graduan memang sentiasa perlu diperbaiki, diperkukuh dan dipertingkatkan supaya dapat menyaingi kehendak semasa.

“Jika program yang dilaksanakan kurang mencapai piawaian itu, secara tidak langsung ia turut menggagalkan usaha proaktif yang dibuat dan ini satu kerugian besar kepada negara,” katanya.

Menerusi pendekatan program CEO@Fakulti yang kini membabitkan hampir 64 CEO yang terdiri daripada tokoh korporat pelbagai sektor, bakal graduan berpeluang mengalami dunia sebenar termasuk aspek pentadbiran dan perkongsian amalan terbaik serta membolehkan mereka menjadi lebih dinamik lagi holistik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 5:02 AM