TERBABIT dalam aktiviti di kampus atau kolej adalah antara mekanisme terbaik untuk bakal graduan membina pelbagai kemahiran sekali gus memupuk  nilai positif. - Gambar hiasan
TERBABIT dalam aktiviti di kampus atau kolej adalah antara mekanisme terbaik untuk bakal graduan membina pelbagai kemahiran sekali gus memupuk nilai positif. - Gambar hiasan
 KEJAYAAN siswa akan menjadi lebih bermakna jika disertakan dengan pembabitan dalam pelbagai aktiviti di kampus. - Gambar hiasan
KEJAYAAN siswa akan menjadi lebih bermakna jika disertakan dengan pembabitan dalam pelbagai aktiviti di kampus. - Gambar hiasan
KEJAYAAN dilantik sebagai barisan Majlis Perwakilan Pelajar di universiti adalah antara langkah awal siswa untuk meningkatkan lagi nilai kredit di pasaran kerjaya kelak. - Gambar hiasan
KEJAYAAN dilantik sebagai barisan Majlis Perwakilan Pelajar di universiti adalah antara langkah awal siswa untuk meningkatkan lagi nilai kredit di pasaran kerjaya kelak. - Gambar hiasan
GRADUAN berdepan dengan pelbagai cabaran getir pada hari ini, sekali gus memerlukan mereka bersedia dengan pelbagai keistimewaan untuk menarik perhatian majikan. - Gambar hiasan
GRADUAN berdepan dengan pelbagai cabaran getir pada hari ini, sekali gus memerlukan mereka bersedia dengan pelbagai keistimewaan untuk menarik perhatian majikan. - Gambar hiasan
BIARPUN aktiviti diadakan nampak remeh dan seperti membuang masa, sebenarnya masih mempunyai impak tinggi untuk siiswa. - Gambar hiasan
BIARPUN aktiviti diadakan nampak remeh dan seperti membuang masa, sebenarnya masih mempunyai impak tinggi untuk siiswa. - Gambar hiasan
 JANGAN hanya menjadi ulat buku semasa di kampus, sebaliknya gunakan peluang diberikan sebaik mungkin untuk terbabit dalam aktiviti diadakan. - Gambar hiasan
JANGAN hanya menjadi ulat buku semasa di kampus, sebaliknya gunakan peluang diberikan sebaik mungkin untuk terbabit dalam aktiviti diadakan. - Gambar hiasan
Ruhaiza Rusmin


Ketika penulis dan rakan sebaya melanjutkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan satu ketika dulu, kami sering merungut mengapa aktiviti di kampus sering menjadi agenda wajib yang perlu diikuti.

Dengan bebanan pengajian yang bukan sedikit, pada ketika itu kami menganggap penganjuran aktiviti berkenaan sangat membebankan fizikal dan mental.

Bagaimanapun, selepas meninggalkan alam kampus barulah kami sedar dan mengakui penganjuran aktiviti itu sangat besar manfaatnya terutama dalam membantu mencari peluang pekerjaan.

Meskipun ketika itu, keperluan mempelbagaikan kemahiran tidaklah terlalu mendesak seperti hari ini namun tetap terasa kesukarannya.

Bagi siswa atau bakal graduan hari ini kesukaran itu sudah pastinya lebih berganda kerana pelbagai tuntutan diperlukan pasaran sementara persaingan pula semakin sengit.

Pengetua Kolej Kediaman Kedua Universiti Malaya Dr Nahrizul Adib Kadri, berkata bagi melalui tuntutan yang digariskan pasaran itu, siswa perlu memanfaatkan setiap peluang diberikan termasuk membabitkan diri dengan pelbagai aktiviti di kampus.

Menurutnya jangan memandang remeh setiap aktiviti yang dianjurkan kerana semuanya mempunyai manfaat kepada golongan terbabit.

“Ada siswa mempunyai tanggapan salah terhadap penganjuran sesuatu aktiviti di kampus.

“Mereka menyangka semua aktiviti dianjurkan itu tidak bermanfaat atau seperti membuang masa.

“Tanggapan itu cukup merugikan kerana pembabitan dalam aktiviti di kampus mempunyai matlamat tertentu yang dicipta khusus bagi golongan itu,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti di kampus juga satu mekanisme khusus untuk membantu siswa memperkukuh dan mempertajamkan kemahiran atau keperluan masa kini.

“Dulu keperluan kemahiran kurang dititikberatkan sebaliknya siswa hanya perlu fokus dalam akademik saja.

“Tapi hari ini lebih mencabar hingga memerlukan golongan itu dibekalkan dengan pelbagai keperluan untuk mereka diterima dalam industri atau meneruskan kehidupan.

“Antara objektif pengisian aktiviti di kampus adalah bagi mencapai tujuan itu, oleh itu jangan ambil mudah mengenainya,” katanya yang juga menekankan aktiviti di kampus juga antara sebahagian cara mengimbangi tuntutan akademik dan kokurikulum.

Dr Nahrizul berkata, ada pihak menyangka hidup di kampus hanya untuk belajar saja, jadi mereka tidak mempedulikan perkara lain.

“Golongan ini tidak endah atau sambil lewa saja saranan institusi untuk mengaktifkan diri dalam aktiviti di kampus.

“Mereka akan menjadi kelompok yang berhempas-pulas meneruskan kehidupan selepas tamat pengajian,” katanya.

Sejak dunia pendidikan merentasi keperluan global tanpa sempadan, pelbagai kajian atau soal selidik dilakukan di seluruh dunia untuk mengetahui apakah ciri yang diperlukan industri sebelum memilih bakal graduan sebagai pekerja mereka.

Menerusinya, mereka mendapati antara ciri atau kriteria yang dicari majikan global masa kini adalah kemahiran berinteraksi dan sosial.

Dr Nahrizul berkata, permulaan untuk menyertai atau belajar berkenaan keperluan hidup bermasyarakat juga bermula di kampus.

Menurutnya, antara masalah utama generasi muda kini adalah hanya mahu berada dalam kelompok atau kehidupan dunia mereka sendiri.

“Tapi, itu sudah melanggar rutin sebagai seorang anggota masyarakat kerana di dunia ini kita tidak boleh hidup seorang diri atau hanya mengikut cara kita saja.

“Dengan menyertai aktiviti di kampus siswa akan belajar pelbagai kaedah untuk menjadi anggota masyarakat yang baik termasuk melalui pembawaan diri dan tutur kata.

“Semua itu boleh dibentuk dan ada dalam setiap aktiviti penganjuran di kampus yang perlu digunakan atau dimanfaatkan siswa sepenuhnya,” katanya.

Beliau menekankan, antara langkah awal boleh dilakukan adalah dengan menyertai aktiviti dalam kelompok kecil seperti di kolej.

“Pembabitan dengan aktiviti di sini (kolej) misalnya boleh menjadi platform awal siswa membina kemahiran dalam kelompok minor.

“Kemudian mengembangkannya ke kelompok atau aktiviti lebih besar membabitkan peringkat lebih tinggi seperti kampus pula.

“Jika mereka bijak memanfaatkan setiap peluang, dalam tempoh empat tahun di institusi, di samping memperoleh ilmu mereka juga berkeupayaan membina kemahiran sekali gus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2017 @ 1:07 PM