PELBAGAI elemen positif juga mampu disuntik dalam kalangan generasi muda apabila menyertai aktiviti kemasyarakatan anjuran institusi. - Gambar hiasan
PELBAGAI elemen positif juga mampu disuntik dalam kalangan generasi muda apabila menyertai aktiviti kemasyarakatan anjuran institusi. - Gambar hiasan
BUKAN semua siswa melihat kepentingan elemen bukan akademik sebagai satu proses pembelajaran sedangkan ia juga satu proses penjanaan ilmu melalui pengalaman dan praktikal. - Gambar hiasan
BUKAN semua siswa melihat kepentingan elemen bukan akademik sebagai satu proses pembelajaran sedangkan ia juga satu proses penjanaan ilmu melalui pengalaman dan praktikal. - Gambar hiasan
SUNTIKAN elemen bukan berbentuk akademik boleh memberi peluang meningkatkan hubungan sosial bersama masyarakat sekali gus membina kemahiran diri secara tidak langsung. - Gambar hiasan
SUNTIKAN elemen bukan berbentuk akademik boleh memberi peluang meningkatkan hubungan sosial bersama masyarakat sekali gus membina kemahiran diri secara tidak langsung. - Gambar hiasan
PEMBELAJARAN secara santai juga boleh diperoleh melalui proses pembelajaran bukan akademik dan tidak semata - mata di kampus saja. -Gambar hiasan
PEMBELAJARAN secara santai juga boleh diperoleh melalui proses pembelajaran bukan akademik dan tidak semata - mata di kampus saja. -Gambar hiasan
BUKAN mudah mahu mendekatkan golongan muda hari ini dengan masyarakat namun usaha perlu dilakukan supaya mereka mampu meneruskan kesinambungan sebagai bakal pemimpin negara untuk masa akan datang. - Gambar hiasan
BUKAN mudah mahu mendekatkan golongan muda hari ini dengan masyarakat namun usaha perlu dilakukan supaya mereka mampu meneruskan kesinambungan sebagai bakal pemimpin negara untuk masa akan datang. - Gambar hiasan
Ruhaiza Rusmin


Ada yang menganggap elemen kemahiran insaniah atau yang bukan bersifat akademik di institusi pengajian tinggi sebagai satu pembaziran.

Alasannya, hanya sebahagian kecil saja memperoleh manfaat sementara yang lain pula hanya menjadikannya sebagai batu loncatan demi memenuhi piawaian kredit.

Namun ada juga pihak menyangkal pendapat itu dan beranggapan elemen berkenaan penting sebagai penilaian dalam nilai tambah kemampuan graduan di alam pekerjaan.

Pembangunan dalam aspek tertentu seperti sosiobudaya juga dapat diterapkan secara tidak langsung dan lebih praktikal sekali gus mendidik mereka menjalankan peranan terhadap masyarakat.

Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti ( UCTC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak Profesor Dr Ramlee Mustapha berkata pertikaian kedua-dua pihak boleh mengundang konflik sekali gus menggagalkan usaha yang disasarkan untuk generasi muda hari ini.

Menurutnya, pihak yang bersetuju atau bertelagah perlu mengetepikan sentimen masing-masing sebaliknya memberi kepercayaan kepada institusi untuk membuat acuan terbaik bagi melahirkan generasi mempunyai nilai kemasyarakatan tinggi.

“Dalam hal ini, perbalahan boleh menyebabkan berlakunya konflik sekali gus merencatkan usaha membantu golongan itu mencari dan mengenal erti tanggungjawab.

“Padahal merekalah yang bakal meneruskan kesinambungan sedia ada, jadi tumpuan penuh perlu diberikan kepada golongan ini.

“Ketepikan sentimen atau persepsi terhadap program yang perlu disertai siswa kerana ia mungkin kelihatan tidak penting untuk kita tapi tidak buat mereka,” katanya.

Beliau tidak menyangkal kebanyakan elemen yang ditekankan menerusi program berkenaan bersifat bukan akademik, santai dan ada kalanya seperti ‘melencong’ daripada matlamat asal.

“Saya tidak nafikan sebab bukan semua mereka melihat aktiviti kemasyarakatan sebagai satu elemen positif dalam pengajian sepanjang di universiti.

“Tapi sekurang-kurangnya mereka dapat merasa satu pengalaman baru bukan bersifat akademik walaupun mungkin kurang berminat menyertainya.

“Institusi mahu mengubah mentaliti siswa supaya sedar kemasukan ke universiti bukan semata-mata mahu mengejar kecemerlangan akademik saja malah belajar pelbagai aspek merangkumi bukan akademik,” katanya.

Gabungan proses pembelajaran bersifat akademik dan bukan akademik juga, katanya boleh mempertajamkan nilai serta kualiti siswa berdepan persaingan dalam dunia masa kini.

Menurutnya, pengenalan pelbagai program bersifat bukan akademik sebagai sokongan kepada golongan terbabit supaya mereka dapat memberi tindak balas positif seperti mana diperlukan semua pihak.

“Suatu ketika dulu, ada rungutan mengatakan siswa kita lebih fokus pada akademik dan akan ‘bermasalah’ apabila memasuki industri atau ketika bersama masyarakat.

“Apabila Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan modul Kemahiran Insaniah (KI) pada 2006, matlamat utamanya ialah membantu memperkukuhkan pelbagai kemahiran di kalangan siswa.

“Dengan kata lain, ia sebagai sokongan membantu golongan ini mempersiapkan diri dengan kemahiran diperlukan bagi memenuhi kehendak pasaran industri di samping keperluan akademik,” katanya.

Secara umumnya tidak terdapat definisi yang tepat bagi terma KI.

Bagaimanapun, KI dikaitkan dengan trait (perangai atau sifat) personaliti individu, bijak berkomunikasi, pandai mendapatkan kenalan, berdaya tahan dan berinovatif.

KI juga merangkumi aspek kemahiran generik. Walaupun tidak terdapat suatu senarai kemahiran khusus berkenaan KI, namun kebanyakannya berkait dengan penguasaan kemahiran seperti kepemimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan.

Beliau berkata, siswa perlu dididik untuk mengubah persepsi mereka supaya jangan keterlaluan meletakkan kebergantungan terhadap akademik sebaliknya diseimbangkan dengan suntikan elemen lain juga.

“Zaman ini, kebergantungan pada pencapaian akademik bukan lagi jaminan mereka bakal diterima dalam sektor pekerjaan dan masyarakat.

“Industri semakin melihat keperluan aspek - aspek lain juga yang boleh mereka gunakan untuk menjana keperluan syarikat sementara masyarakat juga mahu menerima seseorang yang boleh menyumbang sesuatu.

“Mahu atau tidak, siswa perlu mengikut ‘rentak’ ini sebab mereka memang tiada pilihan,” katanya mengakui elemen bukan bersifat akademik besar peranannya dalam mencorak masa depan siswa.

“Jangan pandang mudah keperluan menguasai elemen ini kerana ia berperanan menjadikan siswa itu bernilai pada mata pencari kerja atau persekitaran.

“Elemen jati diri, komunikasi, kepimpinan dan sebagainya tidak ada tertulis dalam buku atau boleh dihafal untuk dijawab dalam dewan peperiksaan.

“Ia perlu dirasai sendiri untuk memperoleh manfaatnya,” katanya.

Beliau juga mengakui sukar untuk mentransformasikan minda siswa supaya tidak terlalu taksub dengan akademik semata - mata dan melihat skop masa depan dengan lebih luas.

“Kita tidak boleh menyalahkan mereka sepenuhnya kerana sejak dulu sistem pendidikan lebih terarah ke situ.

“Bagaimanapun, belum terlewat untuk membantu mereka mengubah persepsi dan minda untuk melihat kepentingan ditekankan.

“Mungkin usaha itu nampak sukar, tapi ia perlu dilaksanakan demi kebaikan bersama sekali gus mengelakkan terjadinya lambakan graduan yang tidak diterima industri kerana tidak mempunyai kemahiran tertentu,” katanya.

Dr Ramlee berkata, UCTC UPSI antara platfom utama yang menjadi nadi kepada institusi berkenaan dalam menjalankan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan lagi kebolehan dan kemahiran siswa.

“Ini termasuklah mengadakan pelbagai aktiviti yang memberi pendedahan dan pengalaman baru kepada mereka seperti terbabit dalam program khidmat komuniti di dalam atau luar negara.

“Pendedahan lain yang dirasakan mampu memberi manfaat turut dilaksanakan bertujuan membantu mereka bersedia sebelum melangkah ke alam pekerjaan pula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 12:09 PM