DAYA saing dan daya jual yang tinggi mampu menaikkan kebolehpasaran graduan. - Gambar hiasan
DAYA saing dan daya jual yang tinggi mampu menaikkan kebolehpasaran graduan. - Gambar hiasan
SISWA perlu bijak merebut peluang supaya tidak ketinggalan. - Gambar hiasan
SISWA perlu bijak merebut peluang supaya tidak ketinggalan. - Gambar hiasan
KAEDAH pembelajaran kini lebih baik berbanding dulu dan pelajar seharusnya bijak menggunakan kemudahan yang ada. - Gambar hiasan
KAEDAH pembelajaran kini lebih baik berbanding dulu dan pelajar seharusnya bijak menggunakan kemudahan yang ada. - Gambar hiasan
GRADUAN holistik perlu mempunyai daya tumpuan berfikir yang tinggi. - Gambar hiasan
GRADUAN holistik perlu mempunyai daya tumpuan berfikir yang tinggi. - Gambar hiasan
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman


Segulung sijil, diploma mahupun ijazah dengan keputusan cemerlang bukan lagi penentu masa depan yang gemilang kepada graduan masa kini.

Persaingan hebat dalam dunia kerjaya menyebabkan keputusan akademik yang cemerlang tidak lagi dianggap relevan kerana graduan perlu bersaing dengan ramai lagi calon lain.

Keadaan menjadi bertambah sukar dan lebih mencabar jika sijil diperoleh dengan keputusan di bawah sederhana.

Namun, adakah keputusan akademik cemerlang semata-mata dapat menentukan seseorang graduan mudah diterima masuk ke alam pekerjaan?

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Datuk Dr Mizan Hitam berkata, siswa cemerlang bukan hanya terletak pada keputusan akademik.

“Kebiasaannya siswa cemerlang memiliki tiga ciri dalam diri yang mendorong kepada kejayaan mereka.

“Pertama, pastinya cemerlang akademik dengan memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) tinggi. Ini ikuti dengan mempunyai ciri kepemimpinan dan akhlak yang baik.

“Seterusnya, pelajar cemerlang juga perlu ada kemahiran insaniah seperti kemahiran berkomunikasi kerana ia membentuk peribadi lebih mantap,” katanya.

Dr Mizan berkata, jika ciri-ciri berkenaan diterapkan dalam diri setiap siswa, lebih ramai graduan berkualiti dan bersedia untuk melangkah ke alam pekerjaan dapat dilahirkan.

“Siswa perlu berpandangan jauh dan ada daya saing yang tinggi. Elemen ini perlu ditanam dalam diri kerana ia mampu melahirkan graduan yang bersedia dan berkualiti untuk keperluan industri,” katanya.

Beliau berkata, siswa juga perlu mempunyai ciri keusahawan dan seimbang dalam kehidupan bagi memastikan universiti dapat melahirkan graduan holistik.

“Mengikut garis panduan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang digariskan Kementerian Pendidikan, graduan holistik perlu ada ciri keusahawanan dan seimbang. Ini yang sering ditekankan kepada semua pelajar.

“Siswa perlu mempupuk sifat keusahawanan, mahir berkomunikasi, berupaya memimpin dan cemerlang akademik agar seimbang.

“Ini bermakna memperoleh keputusan cemerlang dalam akademik tanpa memiliki kemahiran komunikasi dan memimpin akan menyebabkan graduan itu tidak menepati pakej dikehendaki majikan,” katanya.

Mengenai graduan yang memperoleh keputusan akademik yang lemah, Dr Mizan berkata, bilangan mereka hanya sekitar 10 peratus dan ia tidak seharusnya menjadi isu.

“Kalau kita lihat dari segi peratusan, sebagai contoh di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan UIAM, jumlah mereka hanya 10 peratus.

“Biasanya siswa yang gagal atau lemah ini bukan kerana mereka tidak pandai atau tiada kemahiran tapi disebabkan sikap.

“Pada pendapat saya semua siswa berpotensi menjadi pelajar cemerlang, yang penting memperbaiki sikap dan keluar daripada zon selesa,” katanya.

Beliau berkata, sikap menjadi penentu kepada kecemerlangan atau kegagalan seseorang dan sebagai siswa, mereka perlu lebih berdaya saing dan sentiasa ke hadapan.

“Sikap tak kisah, tak ambil serius atau tak ambil peduli tidak perlu ada pada siswa. Jika ia dapat diubah, tidak akan ada pelajar lemah mahupun gagal.

“Mereka perlu buang sikap negatif seperti malas dan sambil lewa kerana di universiti anda perlu ada inisiatif sendiri dan bijak mengambil peluang,” katanya.

Dr Mizan berkata, saban tahun bilangan pelajar cemerlang meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya terutama dari segi peningkatan CGPA.

“Ini kerana kaedah pembelajaran sekarang lebih baik berbanding dulu. Secara tidak langsung, kita sudah mempelbagaikan kaedah pembelajaran kepada siswa, bukan sekadar ‘chalk and talk’ saja.

“Alat bantuan mengajar dan pensyarah berkualiti juga antara penyumbang kepada peningkatan ini manakala pemantauan kualiti seperti ISO, NQA, audit, dan penarafan universiti juga membantu,” katanya.

Beliau berkata, bagi graduan yang mencatat keputusan sederhana dan di bawah sederhana, apa yang penting selain menanam sifat holistik, mereka juga perlu memperbaiki penguasaan bahasa kedua.

“Penguasaan bahasa kedua terutama bahasa Ing­geris sangat penting kerana jika tidak, agak sukar untuk mereka merebut peluang kerana bahasa kedua kini sama penting dengan bahasa Melayu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 5:01 AM