Oleh Azizan Hashim

Ipoh: Ilmu ditimba selama seminggu daripada jurulatih Penn State College di Amerika Syarikat Chris Cagle berjaya meningkat persembahan Shamirul Shahril Mohd Adam Das (gambar) yang menjuarai Sirkit Ke-9 Jelajah Remaja TennisMalaysia (TM) 2015 di Ipoh, baru-baru ini.

Pemain ranking nombor satu remaja negara itu mudah melepasi pilihan kedua kejohanan, Razlan Shaqeel Rahmat 6-1, 6-1 untuk merangkul gelaran kelimanya selepas muncul juara di Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Latihan di bawah Chris berjaya meningkatkan persembahan saya. Ini pertemuan ketiga kami. Pertemuan pertama di Johor agak sengit juga,” kata pemain berusia 15 tahun dari Selangor itu.

Bagi kejayaannya itu Shamirul yang ingin menjadi pemain profesional merangkul piala pusingan serta wang tunai RM300.

Razlan, juga berusia 15 tahun dan penuntut Tingkatan 3 St John Institution (SJI) Kuala Lumpur terpaksa akur dengan kehebatan lawan serta berpuas hati dengan RM200.

“Saya agak letih kerana sedang membuat persiapan terakhir untuk peperiksaan PT3. Peperiksaan itu lebih penting kerana saya mahu keputusan yang baik,” katanya.

Begitupun pemain itu berharap dapat berjumpa dengan Shamirul di Sirkit Titiwangsa yang akan diadakan bulan depan.

Sementara itu pemain Terengganu, Mohd Irzad Syazurin Sulani muncul juara perseorangan kategori lelaki bawah 14 tahun selepas mengenepikan pemain tuan rumah, Ishaan Singh 6-2, 6-0.

Nur Aniess Shamida Samsul Kamil dari Kedah pula muncul juara kategori B-14 perempuan selepas menundukkan pemain Kelantan Nur Farrah Farid 6-0, 6-3.

Presiden TM Mirza Tun Mahathir antara yang hadir menyaksikan perlawanan akhir itu.

Turut hadir Exco Belia dan Sukan Negeri Datuk Sharulzaman Yahya dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohamad Gazali Jalal.

Kejohanan yang pertama kali diadakan di Perak itu dianjurkan Tenis MAKSAK Perak dengan kerjasama TennisMalaysia. Sirkit Ke-10 akan diadakan di Titiwangsa bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 9:37 AM