Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Selepas menamatkan kemarau 10 tahun dengan memenangi emas pada Sukan SEA Singapura Jun lalu, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kini mahu memastikan mereka mendominasi pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Malah untuk Sukan SEA 2017, Presiden PSM Datuk Ahmad Ismail menjelaskan mereka akan berusaha untuk meraih sebanyak mungkin pingat emas.

“Arahan Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) adalah jelas, kita mahu menjadi juara keseluruhan. Jadi perlu ada strategi tertentu untuk melakukannya.

“PSM akan memikirkan cara terbaik untuk melakukannya seperti mengehadkan penyertaan negara lain untuk bersaing dalam beberapa acara saja. Manakala tuan rumah dibenarkan untuk menyertai semua acara,” katanya.

Jelasnya PSM akan berusaha mempertandingkan acara regu, regu berpasukan, beregu, beregu berpasukan, empat sebelah, empat sebelah berpasukan dan chinlone bagi kategori lelaki dan wanita.

Terdahulu Ahmad serta barisan kepimpinan meraikan lapan pasukan yang berjaya melangkah ke sirkit akhir Kejohanan Grand Prix Kebangsaan bermula semalam hingga esok di Taman Tasik Titiwangsa.

Sementara itu Naib Presiden PSM Dazma Shah Daud berkata, apa yang berlaku di PSM sejak kebelakangan ini adalah kebangkitan baru.

“Ini termasuk banyak pertandingan diadakan menghasilkan banyak corak permainan lebih baik, ramai pemain muda serta matang.

“Saya tidak katakan masalah ketandusan bakat dapat diselesaikan sepenuhnya namun ia membantu. Apabila banyak pertandingan diadakan, ia membuka peluang kepada pemain yang sebelum ini tidak diketahui bakatnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 5:25 AM