Khairul Idham Pawi berpeluang mengisi slot MotoGP negara.
Khairul Idham Pawi berpeluang mengisi slot MotoGP negara.
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Prinsipal pasukan PETRONAS Sepang Racing, Datuk Razlan Razali 'mencabar' pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi untuk melakukan yang terbaik pada tahun pertamanya bersama pasukan kelas pertengahan negara PETRONAS Sprinta Racing, musim ini.

Razlan berkata, pemenang Grand Prix (GP) Argentina dan Jerman dalam kelas Moto3 pada tahun 2016 itu diberi peluang menunjukkan prestasi sebenar dan seandainya berhasil, Khairul Idham boleh mengisi slot dalam pasukan MotoGP negara, PETRONAS Yamaha Sepang Racing.

"Kamu (Khairul Idham) tahu apa yang boleh direbut (peluang). Satu daripada dua slot MotoGP adalah untuk kamu rebut, untuk kamu kejar dan untuk kamu muncul selaku pelumba MotoGP Malaysia pertama dalam pasukan ini.

"Ini peluang kamu bangkit, kembali fokus dan kami akan bantu kamu menjadi yang terbaik mungkin," kata Razlan yang turut meletak sasaran untuk Khairul Idham berada dalam kelompok pelumba 15 terbaik bagi musim ini.

Ini tahun ketiga Khairul Idham menyertai kelas pertengahan Moto2 dengan kali ini berlaku perubahan daripada sudut enjin, mengunakan Triumph 765cc berbanding Honda (600cc) sebelum ini.

"Daripada segi suspensi memang banyak lagi perlu diperbaiki. Dengan enjin baharu ini, 'torque' lebih kuat daripada sebelum ini.

"Kami perlu secepat mungkin menyesuaikan situasi terutama daripada sudut pelarasan dan juga tunggangan," kata Khairul Idham yang dijadual menjalani ujian persendirian bersama pasukan baharunya itu di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC), dua minggu lagi.  

"Ini tahun ketiga saya di Moto2, jadi saya akan cuba perbaiki kesilapan sebelum ini dan cuba fokus dalam perlumbaan selain cuba mencapai sasaran saya tahun ini."

Khairul Idham atau dikenali sebagai SuperKIP dijadual menjalani ujian persendirian di SIC pada 11 hingga 13 Februari ini sebelum ke Sirkit Jerez untuk ujian rasmi Moto2, tujuh hari kemudiannya.

Sirkit Antarabangsa Losail, Qatar akan menjadi lokasi terakhir ujian rasmi pada 1 hingga 3 Mac sebelum litar sama menjadi venue pembuka tirai bagi musim 2019 dari 7 hingga 10 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 5:26 PM